Connect with us

Berita Lain

‘BERTERUS TERANG’ TAK SEMESTINYA BERCAKAP BENAR, TUN M JAWAB MUSA HITAM

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bekas timbalannya pada era 1980-an, Tun Musa Hitam, hampa kerana Tengku Razaleigh Hamzah dilantik ke dalam Kabinet, menafikan dakwaan wujud konspirasi didalangi beberapa pemimpin Umno ketika itu menjatuhkan Musa.

Dr Mahathir mengulas dakwaan Musa dalam bukunya “Frankly Speaking” (Berterus Terang), yang menceritakan bagaimana beliau terpaksa meletak jawatan setelah mendapat tahu Dr Mahathir termakan hasutan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Sanusi Junid dan Tun Daim Zainuddin, kumpulan yang diberi singkatan “AIDS”.
Berterus terang tidak semestinya bercakap benar,” Dr Mahathir, yang memimpin kerajaan daripada 1981 hingga 2003, menulis dalam catatan terbaru blognya.
Musa, timbalan pertama Dr Mahathir, meletak jawatan pada 1986, digantikan Tun Ghafar Baba.
Dalam bukunya yang dilancarkan awal bulan ini, Musa menuduh Anwar, Sanusi dan Daim di sebalik konspirasi dengan menuduh beliau mahu menjatuhkan Dr Mahathir.
Dakwaan Musa itu dinafikan Sanusi, tetapi disahkan benar oleh bekas ketua pengarang Utusan Melayu ketika itu, Tan Sri Zainuddin Maidin.
“Tetapi saya tertanya-tanya sama ada Utusan melakukan penyiasatan. Ia selalu melaporkan khabar angin,” kata Dr Mahathir menyindir kumpulan media milik Umno itu.
Sebaliknya, Dr Mahathir berkata sebab utama Musa berundur adalah kerana kecewa seteru politiknya Razaleigh tidak dipinggirkan dalam Kabinet walaupun tewas dengan Musa untuk jawatan timbalan presiden Umno.
Dr Mahathir berkata Musa pernah berjumpa dengannya mengharapkan sokongan dalam pertandingannya dengan Razaleigh merebut jawatan nombor 2 parti, tetapi beliau memutuskan kekal neutral kerana sesiapa yang menang akan menjadi timbalannya.
Saya bersedia bersumpah di atas Al-Quran yang dia melakukannya,” kata Dr Mahathir.
Tidak lama selepas itu, Dr Mahathir mendapat tentangan sengit daripada Razaleigh dalam pertandingan presiden Umno sebelum menang tipis. Ia kemudian menyebabkan perpecahan Umno, dengan Razaleigh dan penyokongnya menubuhkan Semangat 46.
Dr Mahathir turut mempersoalkan dakwaan beliau seorang yang menuntut kesetiaan mutlak.
Katanya, beliau bersetuju melantik Musa menjadi duta khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, seperti juga pelbagai jawatan tinggi kerajaan yang diberikan kepada pemimpin Umno yang pernah menentangnya seperti Tan Sri Hamid Albar, Tan Sri Rais Yatim, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Dan Abdullah Badawi menjadi perdana menteri selepas saya letak jawatan. Apakah ini cara orang yang tidak boleh menerima pengkhianat melayan mereka yang sememangnya khianat terhadapnya?” soal Dr Mahathir
“Saya memimpin negara selama 22 tahun. Parti dan pengundi boleh menjatuhkan saya bila-bila masa. Pemilihan Majlis Tertinggi (parti) sentiasa diadakan. Untuk lima pilihan raya umum, saya memimpin kejayaan parti dengan majoriti 2/3. Saya tidak menggunakan wang. BR1M pun tidak ada.
“Pengundi memilih berdasarkan persepsi, bukan kerana taat setia mutlak,” tulis Dr Mahathir. -FMT

Advertisement
Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel