Connect with us

Berita Lain

KISAH DITINGGALKAN JET DR M DI MADINAH

oleh Farush Khan

PADA tahun 2000 saya pergi lagi ke tanah suci, kali ini membuat liputan lawatan rasmi perdana menteri (ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad).
Memandangkan program lawatan seperti selalunya dirancang rapi oleh semua pihak berkaitan, maka saya tidak langsung meramalkan sebarang masalah.
Seperti ke mana-mana pun saya dan wartawan lain pergi dalam lawatan rasmi seperti itu, segala keperluan, daripada tempahan tiket kapal terbang hingga kepada penginapan biasanya disediakan.
Rupa-rupanya telahan saya tersasar kali ini. Saya berhadapan dengan masalah besar.
Tidaklah seserius tragedi kesesakan, tolak-menolak dan tindih-menindih yang berlaku di terowong Muassim, Mina, yang meragut lebih 1,500 nyawa ketika saya tunai haji pada 1990, tetapi ia tetap mencemaskan.
Ia bermula selepas rombongan kami yang seramai 36 orang tiba di Madinah. Kami ditempatkan di Hotel Oberoi, terletak hanya 80 meter dari Masjid Nabawi.
Sebelum Zohor, beberapa orang yang bersama perdana menteri di kawasan Raudah, diberi penghormatan memasuki makam Nabi SAW.
Tentu saya tidak mahu lepaskan peluang keemasan seperti itu. Bukan semua orang diizinkan masuk kawasan makam Nabi.
Keesokannya, seorang pegawai bertugas mengedarkan surat ringkas ke bilik kami yang memaklumkan bahawa kami perlu bersiap sedia untuk keluar dari hotel jam 8.30 malam untuk bertolak ke Riyadh dengan jet peribadi perdana menteri. Semua penjadualan penerbangan kami dengan pesawat komersial dibatalkan.
Saya masukkan kain baju ke dalam beg, dan petang itu, saya ke Masjid Nabawi lagi. Di antara Maghrib dan Isya saya mengambil peluang membaca al-Quran.
Jam 7.15 malam, saya kembali ke hotel untuk bersama rombongan yang bakal bertolak jam 8.30 malam seperti dijadualkan.
Tetapi alangkah terkejutnya saya apabila dapati beg saya sudah tiada lagi dalam bilik dan semua rakan wartawan sudah tiada di bilik masing-masing.
Akhirnya saya diberitahu oleh seorang lelaki Melayu yang ada di hotel itu bahawa perdana menteri bersama rombongannya sudah meninggalkan hotel.
Saya mula cemas. Seingat saya, saya tidak pernah segelabah itu; ke hulu ke hilir di luar hotel dan di sekitar masjid, mencari mereka macam kucing kehilangan anak.
Antara jam 7.45 dan 9.45 malam saya berjalan mencari rakan-rakan rombongan, setiap detik mendoakan agar dapat temui mereka. Percikan keringat jangan dikira lagi!
Gagal menemui mereka di situ, saya menyewa teksi, terus ke kawasan lapangan terbang khas yang dijadualkan membawa rombongan kami ke Riyadh, tetapi tempat itu sunyi-sepi. Seorang manusia pun tidak ada. Saya balik semula ke Masjid Nabawi, debaran jantung bertambah kencang.
Sudah hampir mati akal. Saya tidak tahu di mana lagi hendak mencari mereka.
Setelah bertanya kepada beberapa orang di Hotel Oberoi, saya diberitahu di kawasan berdekatan ada pejabat menjual tiket penerbangan yang buka jam 10 malam.
Nasib saya sangat baik. Ketika itu dalam poket kot saya ada pasport, sedikit wang dan cek, tiga benda yang amat saya perlukan.
Saya bergesas ke pejabat jualan. Hanya ada seorang pelanggan dan dua staf yang sudah bersiap untuk ‘tutup kedai’.
Saya memberitahu mereka saya perlukan tiket ke Riyadh. Seorang daripada mereka yang boleh bertutur bahasa Inggeris berkata: “Kami nak tutup pejabat sekarang.”
Saya: “Tolonglah saya. Saya perlukan tiket ke Riyadh, malam ini atau esok.”
Pegawai itu bertanya: “Who are you?”
Saya memberitahu profesion saya dan terus mengambil peluang menunjukkan itinerari program lawatan rasmi itu.
Dia sedikit mesra selepas menelitinya.
Pegawai: “Anda lihat seorang pelanggan tadi. Dia nak ke Riyadh juga kerana saudaranya mati. Tapi kami tidak boleh buat apa-apa sebab kapal terbang sudah penuh.”
Saya: “Ya, saudara dia sudah mati, tapi saya masih hidup. Perdana menteri saya akan temui raja anda di Riyadh dan apa jadi pun, saya wajib ada di sana pagi esok. Kalau tidak, saya akan mati. Anda pun akan mati juga!”
Kerana gelabah, saya bagaikan hilang arah tentang apa yang patut saya cakap.
Pegawai itu merenung saya. Entah apa yang difikirkan. Dia pergi kembali ke mejanya, capai gagang telefon dan buat panggilan. Pandangannya terus ke arah saya.
Saya memicit dahi, tidak putus-putus berharap dan berdoa. Saya yakin ALLAH akan melepaskan saya daripada kecemasan.
Kira-kira 10 minit kemudian, pegawai itu keluar kembali, berdiri di hadapan saya dan berkata: Brother, you got the ticket… 7.45 am flight tomorrow.
Subhanallah! Saya lega teramat. Kami berpelukan. Badan saya terasa seolah-olah ringan, seperti mahu terbang masa itu juga.
Dari jam 7.45 pagi keesokannya, saya lena sepanjang penerbangan hingga pesawat mendarat di kota Riyadh, ibu negeri Saudi Arabia itu, hampir dua jam kemudian.
Yang menarik, sehari sebelum itu, ketika di Madinah, saya siap menghantar ucapan perdana menteri yang dijadual untuk disampaikan dalam majlis dengan pemerintah di Riyadh dan ucapan itu disiarkan di muka depan The New Straits Times keesokan hari.
Tidak lama selepas bertemu dan berpelukan dengan rakan-rakan wartawan di Riyadh, saya diberitahu, perdana menteri tidak jadi berucap malam itu.
Astaghfirullah. Saya diam seribu bahasa!
*Artikel ini pertama kali disiarkan di portal Sinar Harian Online.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel