KOTA BHARU: Bercakap di hadapan lebih 5,000 orang dalam satu program bersama Datuk Husam Musa semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu rahsia bagaimana Barisan Nasional (BN) boleh kekal menang selama lebih 60 tahun di negara ini – Bersatu, guna satu simbol dan satu manifesto.
“BN boleh ditewaskan, saya selalu menang, tak pernah kalah semasa memimpin BN,” kata bekas perdana menteri selama lebih 20 tahun itu dalam ceramah perdana di Kota Bharu malam tadi bersama pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Amanah dan PKR.
“BN menang sebab parti lawan kalah, parti lawan kalah sebab mereka tidak bersatu.
“BN menang kerana mereka berjuang sebagai sebuah parti, mereka guna satu simbol dan satu manifesto, mereka hanya letak satu calon, semua 14 parti hanya sokong satu calon,” katanya.
Kenyataan itu susulan pelbagai gesaan supaya parti pembangkang kembali bersatu bagi memastikan satu lawan satu pada pilihan raya umum ke-14 yang perlu diadakan menjelang 2018.
Sebelum ini, beberapa pimpinan Amanah dan PPBM dipercayai terlibat dalam usaha meyakinkan PAS supaya tidak bergerak bersendirian dalam menghadapi BN.
PAS, yang memutuskan hubungan dengan DAP dan berikrar tidak akan bekerjasama dengan Amanah, masih mengekalkan pertaliannya dengan PKR. Baru-baru ini di Terengganu, pemimpin PAS berkongsi pentas dengan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun ia belum tentu mengubah sikap parti Islam itu dalam menjalinkan kerjasama dengan parti lain.
Dr Mahathir semalam sekali lagi menegaskan kepentingan pembangkang bergabung.
“Hanya satu cara sahaja untuk kita menang, kita kena bergabung. Kali ini saya mendesak kalau nak menang, ketepikan perselisihan sesama kita,” kata pengerusi PPBM itu dalam dewan yang sesak di negeri yang diperintah PAS itu.
Dr Mahathir juga memberi jaminan Kelantan boleh menikmati royalti petroleum yang selama ini diperjuangkan oleh mereka.
“Kalau kita menang, baru kita boleh dapat royalti,” katanya disambut dengan tepukan dan takbir mereka yang memenuhi dewan Tunjung Banquet itu.
Selain Dr Mahathir dan Husam, program ceramah bertemakan “BN boleh ditewaskan” yang diusahakan bekas ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim itu, turut menampilkan Rosli Ibrahim, bekas senator yang pernah mewakili Kelantan.
Kelantan berusaha sejak sekian lama memperolehi royalti minyak sebagaimana yang dinikmati negeri jiran Terengganu.
Sebelum ini, kerajaan negeri pimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat memfailkan saman terhadap Petronas, namun isu tersebut senyap selepas kematian pemimpin tertinggi PAS itu.
Kematian Nik Aziz juga menyaksikan hubungan baik antara PAS dan Umno.
Kelantan kini menerima bayaran saguhati daripada Putrajaya melalui Jabatan Pembangunan Negeri (JPP) yang terletak di bawah kerajaan pusat.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, ‘R’ juga ditubuhbkan penyokong kerajaan negeri bagi membuat tuntutan royalti itu tetapi aktivitinya terhenti selepas pimpinan negeri bertukar tangan. – FMT