SHAH ALAM – Suasana panas menyelubungi Konvensyen Pakatan Harapan 2016 hari ini apabila sesetengah peserta konvensyen berteriak melahirkan rasa tidak puas hati.


Ini kerana pandangan mereka terhadap Pengerusi Persatuan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad yang tiba tepat jam 11.47 pagi tadi dihalang oleh petugas media dan peserta ketika menyambut kehadiran bekas Perdana Menteri itu.
Rata-rata peserta teruja menyambut kedatangan beliau bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di sini, hari ini.


Kekecohan berterusan apabila peserta dan petugas media berterusan merakamkan foto Mahathir di bahagian tempat duduk VVIP.


Ia memaksa wakil Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Aiman Athirah Aljundi menghentikan pidatonya yang sedang berlangsung buat sementara waktu.


Keadaan kembali tenang apabila Aiman meneruskan semula ucapan pidatonya sebelum kekecohan tercetus sekali lagi ketika Mahathir bangun untuk mengambil giliran untuk berpidato.


Antara yang dilaung peserta termasuk laungan “Reformasi” dan “Bebas Anwar”.
Selain itu, peserta juga mendesak kumpulan peserta yang berada di hadapan untuk memberi ruang kepada mereka untuk menyaksikan sendiri pidato Mahathir secara langsung. – Sumber: Sinar Harian