Connect with us

Berita Lain

KISAH CINTA TUN DR MAHATHIR & TUN DR SITI HASMAH


MEREKA berkenalan ketika menuntut di Kolej Perubatan King
Edward di Singapura pada 1947. DrMahathir mengakui, cinta mereka bukan cinta
pandang pertama, namun menjadi rapat kerana sering belajar bersama.

“Dia satu-satunya pelajar wanita Melayu, sebab itulah kot
(jatuh hati). Ada enam pelajar lelaki lain, semuanya sentiasa bersedia hendak
tolong angkat beg dia. Saya pula dibesarkan dalam keluarga yang ramai lelaki,
jadi tidak tahu bagaimana hendak ‘tegur’ perempuan. Saya tengok kawan lain
tolong angkat beg dia, saya pun buat juga. Tetapi, saya selalu ajar dia
(pelajaran), itu yang mungkin membuatkan hubungan kami menjadi rapat,”
katanya..

Mereka mendirikan rumah tangga pada usia agak lewat bagi
zaman itu, iaitu Dr Mahathir pada usia 30 tahun, manakala Dr Siti Hasmah, 29
tahun.


Dr Siti Hasmah berkata, kelewatan itu disebabkan mereka
hanya berkahwin selepas menamatkan pengajian dan housemanship bagi memenuhi
permintaan bapanya.  “Ayah saya tahu
mengenai hubungan kami itu. Jadi, satu hari dia telefon saya dan kami berbual
mengenainya. Dia minta saya berjanji supaya menamatkan pengajian dulu sebelum berkahwin.
Suami saya tamat pengajian pada 1953, dan saya pula pada 1955. Setahun kemudian
kami berkahwin,” katanya.

Lumrah bercinta, ada pasang surutnya. Begitu juga dengan
perhubungan mereka sebelum berkahwin. Ketika ditanya mengenai cabaran itu, Dr
Siti Hasmahtidak menafikan sepanjang persahabatan itu mereka berdepan pelbagai
dugaan, tetapi demi janji yang dipegang sejak sekian lama, mereka berjaya
melaluinya.  Malah, Dr Mahathir turut
mengakui seperti pasangan lain ketiak muda dulu, cemburu tetap ada, terutama
apabila melihat Dr Siti Hasmah dengan lelaki lain.

“Ada juga masa berkawan dulu, saya nampak dia berbual
dengan lelaki lain, saya cemburu. Begitu juga apabila dia melihat saya bersama
wanita lain. Tetapi, lama kelamaan kami faham sebenarnya tidak ada apa yang
berlaku. Jadi, perhubungan itu berkekalan,” katanya.  Dr Siti Hasmah akui, sepanjang
perkahwinanmereka, beliau sudah masak dengan tumpuan yang diterima suaminya
khususnya daripada orang ramai. Malah, sering kali juga beliau terpaksa ke tepi
bagi membolehkan orang ramai yang ingin merakam gambar kenangan bersama Dr
Mahathir.

“Pernah sekali ketika kami ke Suria KLCC, ada sekumpulan
wanita yang terserempak dengan kami berasak-asak hendak mengambil gambar
bersama dia (Dr Mahathir) sehingga saya terpaksa bergerak jauh ke tepi.
Kebetulan saya terpandang ada pasangan yang ketika itu berada pada tingkat atas
melihat senario itu dan mereka ketawa melihat keadaan berkenaan, lalu menjerit
ke arah saya ‘tak jealous ke Tun?’. 
“Saya juga ketawa kerana apa yang berlaku itu perkara biasa bagi saya.
Tiada cemburu, kerana kami saling memahami,” katanya.

Pastikan perselisihan faham tidak berpanjangan  Melihat pasangan berkenaan yang saling usik
mengusik sepanjang wawancara dilakukan, jelas sekali keserasian dan kebahagiaan
antara mereka. Kini sudah lebih 50 tahun pasangan bahagia itu melayari bahtera
perkahwinan bersama.  Namun, Dr Siti
Hasmah akui, seperti pasangan lain, perselisihan faham tetap ada. Bak bait puitis
lagu Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula
manusia biasa. Begitu jugalah dengan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.

“Dia selalu komplen, saya lambat (bersiap terutama untuk
menghadiri majlis). Kita ni wanita, biasalah banyak barang yang perlu seperti
beg dan aksesori yang bersesuaian dengan baju. Jadi itulah yang lewat bila
hendak cari yang sesuai. Suami saya pula seorang yang organize. Setiap malam,
dia sudah sediakan semua keperluan seperti baju dan kasut untuk keesokan
hari.  “Selain itu, sebagai ibu, kita
selalu ada benda yang hendak arah anak sebelum keluar dari rumah, terutama pada
waktu malam dan saya juga ada tabiat, mesti tutup lampu bilik sebelum keluar.
Jadi, selalu kena marah, masuk kereta masam muka danapabila tiba di majlis
tidak bertegur sapa.

Namun, akhirnya saya sedar kesilapan yang dilakukan
dankami berbaik semula. Tetapi, bagi menyelesaikan masalah ‘lambat’ itu saya
suruh dia (Dr Mahathir) yang tutup lampu,” katanya tersenyum memandang suaminya
mengenang peristiwa lalu.  Menariknya, Dr
Mahathir berkata, beliau turut mempunyai jalan bagi menyelesaikan masalah
berkenaan.  “Sebenarnya, saya seorang
yang obses dengan ketepatan masa. 



Susah nak faham perempuan, ginculah, beg
mesti sama warna dengan kasutlah… Oleh kerana dia selalu lambat, saya akan
duduk dalam dressing room dan tolong carikan apa yang dia perlukan. Kasut ke,
aksesori ke, beg ke, bagi pastikan dia dapat lebih cepat (bersiap),” katanya
tersenyum. 
Melihat kepada senario hari ini yang mana semakin ramai
pasangan baru mendirikan rumah tangga sudah bercerai, Dr Mahathir mengakui
sedih dengan keadaan itu. Baginya, perceraian akan meruntuhkan keharmonian
keluarga dan mendatangkan lebih banyak masalah khususnya trauma kepada
anak-anak.  Beliau berkata, apa yang
berlaku hari ini mungkin disebabkan perubahan nilai budaya. Jika dulu,
kebanyakan pasangan muda baru berkahwin mendapat perhatian daripada keluarga
masing-masing, tetapi hari ini yang mana kebanyakan generasi baru sudah
berhijrah ke kota menyebabkan tiada yang memerhati dan memberi nasihat. 


“Orang dulu anggap perceraian itu sesuatu yang teruk
sekali, tetapi hari ia seperti perkara biasa. Sebaiknya, apabila kita sudah
mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, kita perlu memikirkan bahawa kita
sudah mempunyai tanggungjawab. Jika kita ada rasa tanggungjawab itu, kita akan
fikir caranya untuk berbaik semula apabila bergaduh, bukan terus bercerai.  “Sedih mengenangkan ramai wanita yang menjadi
ibu tunggal. Saya berasal daripada keluarga yang konservatif. Bagi kami, kita hanya
ada seorang isteri saja.

Bapa saya berkahwin dua, tetapi dia berkahwin dengan
isteri keduanya selepas emak, isteri pertamanya meninggal dunia. Paling
penting, kita perlu saling bertoleransi dan jangan berharap supaya pasangan
anda menjadi seperti apa yang anda mahukan. Dia ada personaliti sendiri, jadi
anda perlu bersedia menerima kekurangan masing-masing,” katanya.  Paling penting, kata Dr Siti Hasmah, perlu
saling memahami dan bertoleransi. Jangan hanya kerana perkara remeh membawa
kepada perceraian kerana kesannya ialah anak yang kehilangan kasih sayang
ibudan bapa. Rahsia keutuhan perkahwinan Tun 
BUKAN mudah mengahwini insan ternama. Apa saja yang dilakukan pasangan,
pasti tempiasnya terkena jua.

Namun, bak kata orang, jika takut dilambung ombak, jangan
berumah di tepi pantai. Mungkin itulah pegangan bekas Wanita Pertama Malaysia,
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.  Bersuamikan
orang politik, apatah pula suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memegang
memegang portfolio tertinggi sebagai orang nombor satu negara, bermakna beliau
perlu bersedia berkorban masa dan tenaga. 
“Saya fikir, saya mampu memahami kerjaya suami sebagai ahli politik
kerana kami sama-sama bermula sebagai doktor. Kerjaya ini (doktor) ada kalanya
menyebabkan suami perlu balik lambat, tetapi saya memahami kerana saya juga seorang
doktor.


Apapun, kita harus percaya dan bertoleransi dengan suami.
Jangan cemburu tanpa sebab. Apa yang penting, biar sesibuk mana sekalipun, kita
perlu cari masa untuk meluangkan masa bersama pasangan dan anak,” katanya
ketika ditemui, baru-baru ini.  Dalam
hubungan ini, Dr Mahathir akui, meskipun isterinya reda dan tabah mengharungi
pelbagai cabaran bersamanya, sebagai suami perasaan bersalah tetap ada,
terutama apabila meninggalkan isteri sendirian bersama anak. Antara kenangan
tidak dapat dilupakannya apabila beliau dalam dilema terpaksa memilih antara
berada di sisi isterinya menyambut kelahiran anak mereka, atau menghadiri
sidang Parlimen pertamanya. 

“Saya masih ingat lagi satu kejadian pada 1964, ketika
itu saya baru memenangi pilihan raya pertama saya. Dia (Dr Siti Hasmah) pula
sedang menunggu masa melahirkan Mukhriz. Saya sedang bersiap sedia untuk
menghadiri sidang Parlimen saya yang pertama, tiba-tiba air ketuban dia sudah
pecah. Tetapi, dia beriya-iya suruh saya pergi juga. 



Bayangkan ketika itu
perjalanan dari kedah ke Kuala Lumpur ambil masa yang lama dan saya hanya dapat
melihat mereka (Dr Siti Hasmah dan Mukhriz) selepas dia bersalin.  “Memang saya rasa bersalah, tetapi kami
berpendapat dalam rumah tangga, suami dan isteri perlu saling memahami. Paling
penting, kita tidak terlalu mendesak masa untuk bersama, tetapi tidak bermakna
sampai tiada masa langsung untuk keluarga,” katanya. 

Ini diakui sendiri Dr Siti Hasmah. Sebagai isteri,
katanya, beliau memahami sidang berkenaan amat penting bagi suaminya,
menyebabkan beliau sendiri menyuruh Dr Mahathir segera berangkat memandangkan
perjalanan yang terpaksa dilalui agak jauh. –
 saifulfromslim 






Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel