Connect with us

Berita Lain

‘ANAK ISKANDAR KUTTY’ TETAP JADI SANJUNGAN RAKYAT


PEMIMPIN politik adalah orang yang dihormati dalam
masyarakat. Segala kata, tingkah laku dan sifatnya sentiasa menjadi perhatian
ramai. Tersilap langkah atau terlepas cakap, padah akibatnya.
Inilah apa yang terjadi ke atas Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengungkit asal usul bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kelmarin.
Ketika berucap merasmikan majlis penutup mesyuarat Umno
Bahagian Kelana Jaya, Naib Presiden Umno itu memberitahu hadirin Mahathir
adalah berketurunan India sambil mendakwa pengerusi Pakatan Harapan itu
mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun semasa pentadbirannya.
“Betullah dia kata kita ni mudah lupa sebab dia anak
laki-laki Iskandar Kutty.” Itu kata Ahmad Zahid yang bermaksud Mahathir adalah
anak lelaki keturunan India yang menuduh Melayu mudah lupa. Nama Kutty ialah
satu nama dalam bahasa Tamil.
Dengan kata lain, Mahathir didakwa bukan Melayu tetapi
mempergunakan orang Melayu ketika menjadi perdana menteri, satu kenyataan yang
amat bersifat perkauman!
Ketika berucap di atas pentas, Ahmad Zahid turut menunjukkan
salinan dan membaca nombor kad pengenalan Mahathir yang disimpan dalam telefon
bimbitnya lalu menyebut namanya sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.
Sedutan ucapan dan rakaman video Ahamd Zahid itu kemudian
menjadi tular dan menerima kritikan ramai hanya dalam tempoh beberapa jam di
laman sosial.
Hampir keseluruhan komen dan pendapat menyalahkan timbalan
perdana menteri kerana beliau tidak sepatutnya mengungkit keturunan Mahathir
walaupun sudah tinggalkan Umno dan sertai Pakatan Harapan.
Tidak kurang juga yang menuduh Ahmad Zahid kerana membuat
serangan peribadi ke atas Mahathir.
Ahmad Zahid juga dituduh walaupun sebagai timbalan perdana
menteri, beliau tidak patut memperlekehkan seorang negarawan yang sudah banyak
berjasa kepada bangsa dan negara.
Tidak dinafikan Mahathir telah bermusuh dengan parti
lamanya, Umno. Ramai pemimpin dan ahli Umno sehingga hari ini masih tidak dapat
menerima kenyataan bahawa bekas presiden yang mereka sanjung selama ini telah
berada dalam pakatan pembangkang.
Tetapi perlukah Mahathir dikecam begitu hebat sampai
asal-usulnya pun dijadikan bahan politik? 
Kenapa begitu terdesak seorang timbalan perdana menteri boleh
menggunakan isu keturunan sebagai alat untuk mengkritik lawan?
Tanpa perlu Ahmad Zahid mendedahkan kepada umum, barang kali
hampir seluruh rakyat jelata sudah pun sedia maklum bahawa asal-usul Mahathir
bukan daripada keluarga Melayu tulen. Jadi apa motif beliau sebenarnya?
Apa silapnya Mahathir adalah keturunan India? Beliau telah
merancang banyak projek demi kesejahteraan rakyat.
Walaupun beliau didakwa bukan dilahirkan dalam keluarga
Melayu tulen, tetapi terbukti sepanjang memimpin Umno dan negara, masa depan
Melayu sentiasa menjadi keutamaannya.
Kemarahan Ahmad Zahid belum setakat itu sahaja. Kata Ahmad
Zahid lagi: “Orang itulah yang memperjuangkan agenda Melayu untuk mempergunakan
Melayu. Bila habis madu sepah dibuang. Umno ini sebagai madu dan kita adalah
sepah yang dibuang.”
Umno hanya akan menjadi sepah sekiranya orang Melayu
membuangnya pada PRU akan datang.
Sebagai timbalan presiden Umno, Ahmad Zahid sepatutnya lebih
bimbang bagaimana mahu terus membela nasib dan masa depan orang Melayu.
Pendedahan Ahmad Zahid mengenai asal-usul Mahathir ini
bagaikan memberi modal kepada pembangkang. Isu inilah secara tiba-tiba
memberikan kelebihan kepada Mahathir dan Pakatan Harapan yang tidak semena-mena
meraih undi simpati pada PRU akan datang.
Umno perlu sedar Mahathir semakin hari semakin tua. Tetapi
selagi beliau dikritik dan dikeji, selagi itulah rakyat akan terus
menyokongnya.
Rakyat tidak kira tua atau pun muda akan tetap terus
mengingati beliau sebagai perdana menteri yang paling berjaya dalam sejarah
Malaysia.

Sumber: Sinar Harian

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel