Connect with us

Berita Lain

LIMA PENUNTUT UPNM KEMUKA SURAT REPRESENTASI KAJI SEMULA PERTUDUHAN DIHADAPI MEREKA


KUALA LUMPUR: Lima daripada 19 penuntut Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa menyebabkan kecederaan
terhadap Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain telah mengemukakan surat
representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji semula pertuduhan yang
dihadapi mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail memaklumkan Majistret
Siti Radziah Kamarudin bahawa jabatan berkenaan telah menolak surat
representasi itu pada Isnin.

Lima penuntut berkenaan ialah Muhammad Akmal Akif Alias,
Muhammad Amirul Asraff Mala, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Sufi Mohd Mustapha
dan Muhamad Ashraf Abdullah, yang kesemuanya berumur 21 tahun.

Peguam Datuk Hazizah Kassim, yang mewakili kelima-lima
penuntut UPNM itu berkata anak guamnya telah menghantar surat representasi pada
9 Julai lepas sebelum beliau dilantik sebagai peguam bagi mewakili mereka.

Mahkamah menetapkan 15 September ini untuk sebutan semula
kes bagi mendapatkan laporan berkaitan kes itu termasuk bedah siasat dan
laporan kimia.

Pada 14 Jun lepas, kelima-lima lelaki itu bersama 14 lagi
tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan
kecederaan terhadap Zulfarhan Osman bagi maksud hendak memeras mangsa untuk
mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Empat belas tertuduh ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad
Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Luqman Hakim Shamsuri, Noriznan Izzairi Noor Azhar,
Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad
Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Tertuduh lain ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad
Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat,
Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05
Blok Penginapan Asrama Jebat, UPNM Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan 5.30
pagi, 21 Mei lepas dan di bilik 04-10, asrama sama, antara pukul 1.30 pagi dan
4.30 pagi, 22 Mei lepas.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan
dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara
maksimum tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh masing-masing diwakili peguam Datuk Seri M.
Ramachelvam, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Ariff Amirul Abdul Jani, A. G Kalidas,
Mohd Fadly Hashim, Zamri Idrus dan Joshua Tay.

Mahkamah turut menetapkan tarikh yang sama (15 Sept) untuk
sebutan semula kes  lima pelajar yang
dituduh membunuh Zulfarhan Osman manakala seorang lagi tertuduh iaitu Abdoul
Hakeem berdepan dengan pertuduhan bersubahat membunuh.

Lima tertuduh itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad
Azamuddin,  Muhammad Najib, Muhammad Afif
Najmudin dan Mohamad Shobirin.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di bilik 04-10,
asrama sama antara pukul 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca
bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika
sabit kesalahan.

Mereka tidak dibenarkan diikat jamin kerana kesalahan itu
tidak boleh dijamin dan lima daripada mereka ditahan di Penjara Sungai Buloh
dan seorang lagi di Penjara Kajang.

Zulfarhan Osman, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang
pada 1 Jun lalu, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba
milik rakan.
Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada,
tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap. – BERNAMA

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel