Connect with us

Berita Lain

KES BUNUH POLIS, LELAKI DITAHAN DALAM PESAWAT


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan untuk membantu
siasatan, susulan pembunuhan Lans Koperal Valentino Mesa, 29, yang ditetak dan
ditembak ketika bertugas di Balai Polis Pinggiran USJ, awal pagi semalam.
Lelaki berusia 35 tahun itu, ditahan ketika berada dalam
pesawat, yang bersedia untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) ke Sibu, Sarawak, pada jam 7.40 malam tadi.
Sumber berkata, sejurus ditahan, lelaki yang berasal dari
Sarawak, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang untuk diambil keterangan
bagi membantu siasatan.
Valentino yang bertugas sendirian, ditemukan mati dengan
kesan tetakan di kepala serta tembakan pada jarak dekat di Balai Polis
Pinggiran USJ, pada jam 3.25 pagi semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata kejadian
malang yang menimpa mangsa disedari anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang
kembali ke balai terbabit selepas selesai rondaan.
“Kira-kira jam 3.25 pagi tadi, anggota MPV yang kembali
ke Balai Polis Pinggiran USJ mendapati keadaan di situ gelap.
“Apabila anggota terbabit ke bahagian pertanyaan dalam
balai, beliau ternampak anggota bertugas dalam keadaan tertiarap dan sebaik
lampu dinyalakan, kepala mangsa dilihat berdarah dan luka.
“Pada masa sama, ada kesan tembakan di bahagian tengah
belakang badan mangsa,” katanya.

Menurut sumber BH Online, Mazlan berkata, berdasarkan siasatan awal, ada saksi berada
di kawasan berdekatan mendakwa terdengar bunyi letupan kira-kira jam 2.40 pagi,
namun menyangka ia adalah bunyi mercun berikutan sambutan Hari Kebangsaan.

Berikutan itu, beliau berkata, kejadian tidak dilaporkan
lebih awal.
Mazlan berkata, pistol mangsa didapati hilang dan dipercayai
dilarikan penjenayah. Pihaknya tidak menolak kemungkinan anggota terbabit
ditembak dari jarak dekat dengan senjata api sendiri.
Katanya, serangan terhadap mangsa dipercayai berlaku selepas
lawatan pegawai ke balai berkenaan kira-kira jam 1.30 pagi semalam.
Beliau berkata, mangsa yang berkhidmat selama tujuh tahun
dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sudah berkahwin tetapi belum mempunyai
anak.
Katanya, siasatan awal mendapati tidak ada unsur lain dan
kejadian terbabit menjurus kepada tindakan menyerang anggota polis yang sedang
bertugas.
“Mangsa juga tidak mempunyai masalah peribadi atau
keluarga. Polis tidak menolak kemungkinan serangan dilakukan lebih daripada
seorang penjenayah.
“Kita sedang mendapatkan bantuan pemilik premis
berdekatan sekiranya mereka ada memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk
membantu siasatan dalam usaha memburu penjenayah terbabit,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat setempat yang mempunyai maklumat
diminta tampil menghubungi polis untuk membantu siasatan pembunuhan itu.
Sementara itu, jenazah anggota polis terbabit dihantar
pulang menggunakan penerbangan ke Sibu, Sarawak, petang semalam, seterusnya
diiring ke kampung halaman mendiang untuk urusan pengebumian.


Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel