Saturday, November 08, 2025

LI CHUNRONG BAKAL KETUAI PROTON?

September 4, 2017
1 min read



KUALA LUMPUR: Spekulasi pelantikan tokoh automotif, Li
Chunrong untuk mengetuai Proton Holdings Bhd (PROTON) semakin marak selepas
beliau dilaporkan sudah menyertai barisan pengurusan kanan Zhejiang Geely
Holding Group Co Ltd (Geely).

Portal China Automotif Review pada minggu lalu melaporkan,
Chunrong, bekas ahli Lembaga Pengarah dan Naib Presiden Eksekutif
Dongfeng-Honda Engine Co Ltd itu secara rasminya menyertai Geely dan berkhidmat
sebagai Ketua Eksekutif PROTON.
Dalam pada itu, satu lagi portal automotif China, Gasgoo
melaporkan pada bulan lalu, Dongfeng Automobile kehilangan dua bakat besar
iaitu Chunrong dan Che Yanhua, yang mana didedahkan akan menyertai Geely.
“Pada 21 Ogos, difahamkan Chunrong secara rasminya
menyertai Geely dan berkhidmat sebagai CEO PROTON,” lapor portal
berkenaan.
Bagaimanapun, Gasgoo melaporkan, pegawai Geely enggan
memberi sebarang komen mengenai spekulasi media.
“Semua berita adalah bergantung kepada pengumuman
akhir,” kata pegawai berkenaan yang dipetik portal itu.
Chungrong menyertai Dongfeng Automobile pada 1987 dan telah
mengendalikan pembangunan bagi kenderaan penumpang Dongfeng selama 10 tahun.
Dalam tempoh 30 tahun dengan Dongfeng Automobile, beliau
pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah bagi Lembaga Pengarah Dongfeng;
Timbalan Pengurus Besar Dongfeng Yueda KIA Automobile Ltd Co; Pengawal Selia
Dongfeng Group dan Pengurus Besar Bahagian Kereta Penumpang Dongfeng.
Beliau juga baru saja dilantik sebagai Pengarah dan Timbalan
Pengurus Besar Eksekusif Dongfeng Honda Engine pada Julai.
Geely telah membeli 49.9 peratus pegangan saham dalam PROTON
dan 51 peratus ekuiti dalam Lotus Group pada Jun lalu, sekali gus menjadikannya
sebagai rakan strategik asing PROTON.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, ketika ditanya mengenai spekulasi
berkenaan pada awal bulan lalu, berkata kerajaan tidak campur tangan dalam soal
pelantikan individu untuk mengetuai PROTON dan ia terserah kepada Lembaga
Pengarah syarikat.
“Kita perlu bersikap terbuka dan perlu melabur untuk
mendapatkan bakat. Jika kita terlalu memikirkan sama ada mereka orang luar atau
tidak, kita sukar untuk terus maju,” katanya.
Beliau menegaskan, PROTON kekal berstatus syarikat Malaysia
walaupun melantik warga asing untuk menerajui syarikat itu.
Katanya, tidak timbul isu siapa atau dari mana peneraju
syarikat dilantik kerana kini terdapat banyak syarikat tempatan yang memiliki
pengurusan kanan daripada warga asing seperti Sime Darby dan Petronas, yang
melabur untuk memiliki bakat luar

“Sejajar dengan pasaran terbuka, syarikat Malaysia
seharusnya keluar daripada kepompong terlalu fokus kepada bakat tempatan
sehingga menyebabkan mereka ketinggalan,” katanya. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

HANGAT MINGGU INI

Tarikh Buka Sekolah 2021 Susulan PKP 2.0

Tarikh Buka Sekolah 2021 / Pengoperasian Institusi Pendidikan Di Bawah Kementerian Pendidikan

Banyak Kepala Spermanya Cacat’ – Doktor Jelaskan Aktiviti Berbasikal Boleh Jadi Punca Sperma Rosak

Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggar, ramai yang memilih untuk melakukan aktiviti