Connect with us

Berita Lain

Minta Tun Mahathir Tanding PRU14

Foto: The Malay Mail Online

WALAUPUN usianya menjangkau 92 tahun, kepimpinan bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan tetap
diperlukan, terutama penyokong dan akar umbi Bersatu.
Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu diharapkan bukan sahaja
terus memimpin parti yang baru ditubuhkan setahun lalu, malah turut diminta
menjadi calon dan bertanding pada PRU14.
Ketika ditanya adakah Mahathir berhasrat buat pertama
kalinya menjadi calon pembangkang dalam PRU, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri
Mukhriz Mahathir bagaimanapun tidak mahu mengesahkan perkara itu.
“Buat masa ini, Bersatu masih berbincang dengan Pakatan
Harapan mengenai soal pembahagian kerusi.
“Isu pemilihan calon masih belum dibincangkan
lagi,” kata Mukhriz seperti disiarkan dalam Sin Chew Daily.
Menurut Mukhriz, beliau tidak pasti hasrat ayahnya, sama ada
ingin bertanding atau tidak.
“Saya sendiri pun tak pasti akan tanding di kawasan
mana,” katanya kepada akhbar itu.
Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke
berpendapat, sekiranya Mahathir bertanding pada PRU14, sudah tentu beliau mampu
menaikkan moral Harapan, sekali gus meningkatkan peluang untuk pakatan
pembangkang memenangi lebih banyak kerusi.
“Harapan masih belum bincang mengenai soal pemilihan
calon. Sama ada Mahathir akan tanding atau tidak, ia perlu diserahkan kepada
Bersatu buat keputusan,” katanya.
Khidmat teksi makin tergugat
Permintaan teksi di sekitar Lembah Klang kini semakin
berkurangan atas faktor saingan perkhidmatan e-hailing seperti GrabCar dan
Uber.
Selain itu, pemandu teksi turut bimbang mengenai masa depan
masing-masing apabila adanya perkhidmatan bas percuma di stesen MRT yang baru
dibuka.
Tinjauan yang dilakukan oleh wartawan China Press mendapati,
pendapatan diperoleh pemandu teksi sekitar Lembah Klang jauh berkurangan
kebelakangan ini.
“Ramai pemandu teksi mengadu pendapatan harian mereka
kini hanya mampu digunakan untuk perbelanjaan harian.
“Ramai orang sekarang lebih suka naik GrabCar dan Uber
kerana lebih murah. Ekonomi sekarang agak teruk, sebab itu tak ramai orang suka
naik teksi,” kata seorang pemandu teksi ketika memberitahu akhbar ini.
Katanya, kerajaan diharap memahami masalah dihadapi pemandu
teksi dengan memberikan subsidi agar dapat mengurangkan beban ditanggung.
“Kalau tidak ada pilihan lain, ramai pemandu mungkin
akan berhenti daripada memandu teksi lagi. Mungkin akan tukar kerja lain atau
terus rehat di rumah sahaja,” katanya.
Manakala seorang pemandu teksi lain pula memberitahu,
kerajaan sepatutnya tidak meluluskan perkhidmatan GrabCar dan Uber di Malaysia
kerana ia akan menjejaskan perkhidmatan teksi.
Lebih banyak produk Malaysia dijual di China
Malaysia mampu meningkatkan eksport jualan produk tempatan
di China apabila Pos Malaysia menjalinkan kerjasama dengan China Post Group
Corporation.
Sebuah hab logistik e-dagang Malaysia-China ditubuhkan bagi
menyediakan kemudahan dan peluang kepada syarikat dari kedua-dua negara
mengakses pasaran lebih besar.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II,
Datuk Seri Ong Ka Chuan, China Post adalah firma penghantaran milik Kerajaan
China cukup besar dalam e-dagang kerana memiliki jaringan lebih 50,000 pejabat
pos di seluruh negara itu.
Oleh itu, kata Ka Chuan, bagi Pos Malaysia, kini tiba masa
ia mentransformasikan model perniagaannya kepada hab logistik e-dagang.
“Dalam bidang e-dagang, China adalah pasaran terbesar
di dunia kerana penggunanya amat gemar membeli pelbagai barangan melalui
online.

“Untuk itu, ia dapat dilaksanakan dengan penubuhan
Pavilion Malaysia di laman web e-dagang China Post, ule.com dan memasarkan
produk PKS ke pasaran republik ini,” katanya seperti dipetik dalam Oriental
Daily.


Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel