Connect with us

Berita Lain

‘SATU HARI HASBULLAH AWANG PANGGIL SAYA’ – HAFIZAL


PETALING JAYA: ‘Satu hari Hasbullah Awang panggil
saya’, cerita pengulas sukan Astro Arena, Hafizal Hamad ketika ditanya
bagaimana kerjayanya bermula lebih kurang 15 tahun lalu.
Hafizal, 38, adalah anak didik kepada pengulas
sukan tersohor, Allahyarham Haji Hasbullah Awang, memulakan kariernya dalam
bidang penyiaran pada 2003 di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Bila praktikal di RTM, saya jumpa Hasbullah
Awang dan Zainal Abidin Rawop. Setiap kali nampak Hasbullah, saya akan (buat
suara pengulas sukan) ‘nampaknya Hasbullah Awang sudah tiba’.
“Lama kelamaan Hasbullah tengok saya. Satu
hari dia tanya saya, ‘Zal, abang nak tanya, kau betul-betul minat ke (jadi pengulas
sukan) atau kau main-main? 

“Saya jawab, ‘saya minat abang’. Dia kata
‘kalau minat, ini syarat-syarat dia’. Hasbullah suruh saya pergi ujibakat dan
saya dapat. Saya seronoklah nak masuk tv, semua orang kampung boleh tengok.
Rupanya tidak. Setahun saya kena kerja belakang tabir, sebelum boleh muncul di
kaca tv,” ujarnya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos.

Hafizal adalah pengulas sukan Astro Arena. Bakat
dan kepetahannya berbicara begitu menonjol ketika kejohanan Sukan Sea Kuala
Lumpur 2017 yang melabuhkan tirai 30 Ogos lalu.
Bapa kepada dua orang anak itu begitu meminati
kerjayanya sebagai pengulas sukan dan terbukti apabila beliau beberapa kali
dilihat sebak ketika menjalankan tugasnya – meraikan atlet yang berjaya meraih
pingat untuk negara.



Hafizal yang pernah dianugerahkan Pengulas Sukan
Terbaik Seri Angkasa 2011 menceritakan kembali perjalanannya menjadi anak didik
Hasbullah.

“Hasbullah kata saya kena ikut dia setahun
untuk belajar (selok belok dunia penyiaran sukan). Dalam tempoh setahun, kalau
tak boleh ikut, kami boleh bercerai.

“Dalam masa setahun saya buat skrip, nota
untuk dia, kena tarik wayar kamera. Pendek kata macam-macamlah. Daripada saya
tak tahu apa-apa dalam bidang penyiaran, hingga saya tahu,” katanya.

Pernah Hafizal merasa putus asa dan terfikir untuk
berhenti daripada menuntut ilmu daripada Hasbullah namun isteri dan bapanya
terus memberikannya semangat untuk bertahan.
Ujar Hafizal hingga kini beliau tidak percaya
dirinya terpilih untuk menjadi anak didik kepada Hasbullah.
“Nama Hasbullah Awang macam tak boleh
dipisahkan dengan saya. Ketika beliau meninggal dunia, sebulan saya tak boleh
nak buat apa. Saya rasa hidup saya tak bermakna,” sambil air matanya
bergenang ditubir matanya.
Hafizal menarik nafas yang dalam sebelum menyambung
“Hasbullah wasiatkan saya semua buku nota dia”
“Arwah pernah pesan kepada isterinya agar
semua buku-bukunya diberikan kepada saya. Satu masa Arkib Negara hubungi saya
untuk dapatkan buku-buku itu.
“Saya cakap satu sahaja, buku ini bukan milik
saya. Satu hari nanti bila saya sudah tidak pakai buku ini, saya akan beri pada
pelapis saya nanti,” katanya tenang.
Ditanya apakah yang tercatit didalam buku itu,
Hafizal berkata semua info serta peraturan sukan yang perlu diketahui pengulas
sukan ada didalamnya.
“Cakap nak sukan apa? Silat? Semua peraturan
sukan silat ada daripada A hingga Z. Dan bukan cetakan komputer tapi
seratus-peratus tulisan tangan arwah,” cerita Hafizal.
Hasbullah, 63 dilaporkan meninggal dunia di
Institut Jantung Negara (IJN) dipercayai akibat komplikasi jantung.
Allahyarham merupakan antara pengulas sukan terbaik
yang pernah dilahirkan negara sebaris nama-nama besar lain seperti Datuk Rahim
Razali.
Allahyarham mempunyai aura tersendiri dengan
intonasi suara yang menarik yang begitu mencuit hati pendengar ulasan sukan
daripada beliau.
Allahyarham yang dilahirkan 9 September 1952 di
Teluk Intan, Perak, memulakan tugas sebagai juruhebah radio di Radio 1 RTM
selain pernah menjadi pembantu mengendalikan program khas radio untuk
kanak-kanak bersama Kak Yong.

Populariti Allahyarham memuncak ketika zaman bola
sepak Malaysia memasuki era Semi-Pro pada awal 1990-an.


— Antarapos

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel