Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2018 berkata, bayaran RM500 itu akan diberi dengan syarat pegawai masih berkhidmat sehingga 18 Disember ini dan berada dalam perkhidmatan sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.
Pekeliling itu menyenaraikan pegawai yang layak mendapat bayaran khas adalah pegawai lantikan tetap, sementara dan kontrak, pegawai yang bercuti separuh gaji atau tanpa gaji tetapi tidak sepanjang tempoh 1 Januari hingga 18 Disember 2018 dan pegawai yang dipinjamkan ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya, badan antarabangsa atau syarikat swasta tetapi tidak sepanjang tempoh tersebut.


(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

Menurut pekeliling yang dimuat naik di laman sesawang JPA itu, bayaran khas juga dipanjangkan kepada guru interim, pemandu yang dilantik oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak mendapat pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya dan pemandu yang dilantik sendiri oleh anggota pentadbiran serta hakim dan pesuruhjaya kehakiman berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan Akta Saraan Hakim 1971.
Pekeliling itu juga menjelaskan pegawai yang tidak layak menerima bayaran itu adalah pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi dan setaraf termasuk yang memangku, dipinjam atau ditukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama atau Gred Khas.
Turut tidak layak menerima bayaran itu ialah pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib sepanjang tahun 2018, ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dalam tempoh 1 Januari hingga 18 Disember 2018 dan meletak jawatan dalam tempoh yang sama.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada 2 November lepas mengumumkan  bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 54 dan ke bawah dan sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan. – Bernama