Connect with us

Kolum

Merakam sejarah: ‘Saya akan jadi ‘pembongok’ jika saya katakan bahawa saya tidak gembira melihat Najib dan Rosmah ditangkap’ – Hishamuddin Rais

Saya menggarap tulisan ini pada 13 Mei 2019. Satu tahun dahulu pada hari yang sama saya sedang tersenyum puas sambil menepuk dada sendiri. Saya tersenyum puas dan berterima kasih pada diri saya sendiri yang telah berjaya bersama anak semua bangsa menjatuhkan United Malays National Organisation. Kepuasan hati saya mustahil untuk digambarkan.

Dalam filem Trainspotting ada dialog dari watak utama Mark Renton tentang nikmat dadah.

Renton berkata: “Kau ambil nikmat pancutan berahi kamu yang terbaik, kalikan dengan seribu kali, nikmat dadah masih mengatasi.”

Loading…

Aduh! Untuk saya nikmat kemenangan 9 Mei 2018 mengatasi semua pancutan berahi dan semua sedutan dadah. Nikmat kepuasan ini adalah kejayaan anak semua bangsa dan bangsa semua agama menggagalkan Najib dari memusnah dan menggadaikan negara ini. Gembira puas ini tidak ada tolok bandingnya. Ia adalah kepuasan yang akan dibawa ke akhir zaman. Amin.

Advertisement

Apabila gerombolan United Malays National Organisation bungkam maka saya mewajibkan diri untuk terus tersenyum puas. Senyuman dan kegembiraan ini adalah senyuman berisi dan berasas.

Saya bukan sahaja mahu melihat apa yang saya lakukan menang dan berjaya. Saya juga mahu melihat musuh yang saya lawan kalah jatuh tersembab dan lumpuh. Seperti adat istiadat raja Melaka di zaman dahulu – semua anak menantu dan cucu cicit musuh akan dimusnahkan. Rumah akan diruntuhkan dan tapak rumah akan dihumban ke laut. Ini untuk memastikan musuh tidak mungkin muncul kembali.

Malah Amerika juga telah mengimport tradisi budaya raja Melaka. Musuh utama Amerika pada kurun inilah ialah Al-Qeada. Pemimpin agung Al-Qeada ialah Ustaz Osama Ben Laden yang telah berjaya dibunuh mati oleh soldadu Amerika pada 2 Mei 2011 di Abbottabad Pakistan. Dengan penuh rahsia mayat Usama tidak ditanamkan tetapi telah dihumbankan ke dalam laut.

Justeru, senyuman saya ini berasas. Senyuman saya dipanjangkan hingga ke akhir zaman apabila jaringan risikan tidak rasmi saya melaporkan bagaimana satu kumpulan pemuda gerombolan ketuanan Melayu telah berkumpul menangis, meraung dan bersedih kerana hilang kuasa pada 9 Mei 2018.

Saya difahamkan pada 9 Mei 2018 gerombolan pemuda ini telah menyewa sebuah kondo untuk menanti keputusan PRU14. Akhirnya mereka tidak pulang ke rumah berhari-hari. Kesedihan dan tangisan mereka telah ditemani oleh penasihat mereka bernama Mister Jack Daniel dari Amerika. Jack Daniel ini telah menjadi penasihat baru menggantikan Paul Stadlen dari United Kingdom.

Advertisement

Awek, jambu putus dana

Kita semua tahu Mister Paul Stadlen penasihat setia Najib dikatakan telah cabut lari pada Subuh 10 Mei 2018. Agensi berita Reuters yang lebih awal telah membuat temu janji dengan Paul. Agensi berita ini mahu mendengar komen si Paul tentang Najib dan PRU14. Tetapi Reuters telah gagal menemui sosok ini. Paul Stadlen adalah penasihat setia Najib dari syarikat Apco yang dikaitkan dengan Zionis. Hari ini Paul Stadlen masih dicari oleh pihak PDRM.

Paul Stadlen(kiri)

Saya juga difahamkan seorang teman golf Najib juga cabut lari. Si polan yang bertaraf Tan Sri lari apabila United Malays National Organisation diumumkan kalah. Nasib baik mamat ini ada anak di Australia. Maka disebarkan berita di kalangan tetangga yang si mamat ini bukan hilang cabut lari kerana Najb kalah tetapi hilang melawat anak di luar negara.

Saya juga mendapat berita bagaimana anak gadis kepada bekas seorang menteri besar (yang saya enggan sebutkan dari negeri mana) telah diberhentikan kerja betul-betul pada pagi 11 Mei 2018 oleh syarikat cukong. Anak menteri besar ini diambil bekerja dalam syarikat cukong bukan kerana ada kebolehan atau kelulusan tetapi sebagai alat yang sering digunakan oleh cukong untuk mendapat kontrak.

Saya juga mendapat surah sahih tentang seorang bekas menteri yang enggan pulang ke kawasan. Bekas menteri ini masih lagi menjadi ketua bahagian. Dia amat takut pulang ke kawasan. Takut kalau kalau ada cadangan dari ahli parti untuk membuat program di bahagian. Semasa menjadi menteri dana boleh didatangi dari pelbagai sumber termasuk dari GLC. Kali ini “lubang masyook” menteri telah terkambus. Para cukong pun telah melarikan diri.

Jika tidak yakin tentang surah surah ini sila fikirkan kenapa agaknya Khairy Jamaluddin bekas pemimpin Pemuda United Malays National Organisation tetiba memasang janggut dan jambang. Janggut dan jambang ini adalah tanda kekecewaan yang amat sangat. Janggut dan jambang dipasang dalam usaha untuk mewujudkan imej baru. Atau mungkin janggut dan jambang ini tumbuh hasil dari menerima dan meminum cadangan penasihat baru.

Advertisement

Semua ini adalah surah yang sempat saya dengar dan saya pungut dari sana sini. Apa yang sahih ialah bagaimana satu dunia telah tahu bagaimana Peter Sondakh – mat Indonesia – kawan niaga Najib menghantar jet peribadinya ke lapangan terbang Subang pada 11 Mei 2018. Jet dikatakan dihantar dari Jakarta dalam usaha untuk melarikan Najib dan Rosmah dari Malaysia.

Projek ‘selamatkan Najib’ ini telah digagalkan apabila semua pintu masuk ke lapangan terbang Subang telah dikawal rapi oleh kumpulan anak-anak muda penyokong Pakatan Harapan. Amin.

Bayangkan Datuk, Datuk Seri atau Tan Seri yang berbini lebih dari satu atau ada awek atau jambu simpanan tetiba putus saluran dana. Saya mendengar surah sahih dari teman golf Tun Musa Hitam tentang kisah isteri ketiga dari seorang YB. Sang suami telah hilang kerusi YB di Johor. Sang isteri yang buta politik telah meroyan.

“Dulu tiap bulan ada 20,000 atas meja. Sekarang muka pun jarang nampak.”

Kah, kah, kah!

Saluran ‘masyook’ terkambus

Advertisement

Saya wajib sedar bahawa saya tidak tahu tentang pegawai berjawatan tinggi dalam kerajaan, dalam tentera, dalam PDRM yang tetiba perniagaan dan saluran “masyook” mereka terkambus. Kita juga tidak tahu bagaimana peniaga dan para cukong yang selama ini menjadi saluran dana United Malays National Organisation merasa takut dan cuak.

Jangan lupa babak mamat bernama Lim Kok Wing yang gelabah takut telah datang menyembah Mahathir tanpa dijemput. Ini bukan cerita penglipur lara dari Hishamuddin Rais. Ini dari petikan tulisan Marina Mahathir anak Mahathir sendiri. Tulisan si Marina ini menyebabkan cukong Lim Kok Wing memadamkan status dirinya dari FB dan Twitter. Maka dunia kehilangan nikmat untuk melihat wajah dan fesyen rambut Lim Kok Weng yang tersohor itu. Kah, kah, kah!

Saya akan jadi ‘pembongok’ jika saya katakan bahawa saya tidak gembira melihat Najib dan Rosmah ditangkap. Saya amat yakin 29 juta 999,999 anak semua bangsa warga Malaysia gembira tersenyum melihat dua ‘pencuri’ (mengikut istilah Mahathir) di tangkap. Hanya Lokman Adam seorang sahaja yang merasa kecewa melihat Najib ke mahkamah.

Dalam kegumbiran ini saya juga terperanjat apabila terbaca hampir 1 bilion ringgit duit dan barangan yang telah di rampas dari rumah Najib dan Rosmah.

Jika Pakatan tidak menang pada 9 Mei 2018 – sampai kiamat pun rakyat Malaysia tidak tahu berkaitan harta mereka. Malah anak semua bangsa juga tidak akan mengetahui bahawa Najib dan Rosmah juga dikaitkan dengan kondo-kondo di Pavilion.

Advertisement

Tetiba ketika rampasan di Pavilion ini dilakukan oleh PDRM muncul satu babak komedi selingan. Tauke Pavilion seorang cukong diberitakan telah cabut lari. Cukong ini mungkin takut kerana akan terbongkar kisah-kisah gelap sang cukong yang didakwa merasuah pemimpin Melayu Islam dari parti United Malays National Organisation. Hidup Melayu!

Kenapa cukong ini lari jika dia tidak pernah membuat kerja jahat. Kalau tak salah tak perlu lari. Justeru saya rumuskan bahawa peranan cukong ini samalah seperti peranan yang dimainkan oleh budak tembam bernama Jho Low. Dua-dua telah memperkudakan pemimpin Melayu Islam bernama Najib.

Pelik tetapi benar. Pada hari rampasan harta Najib dan Rosmah dibuat – Utusan Melayu – akhbar milik United Malays National Organisation – tidak pula membuat tajuk berita muka depan akhbar – Apa lagi Cina mahu?

Komedi selingan ini bertambah lawak apabila saya ternampak gambar polis Benggali berjanggut dan berserban mengepalai rampasan harta curi ini. Benggali ini bernama Amar Sigh. Beliau ini adalah pengarah CCID Bukit Aman. Jelas kepada saya ini jenis abang Benggali baik. Maka terbuktilah – masih ada warga yang baik dan jujur. Ini juga buktinya: Oh, Malaysiaku negara berbilang bangsa.

Benggali baik Amar Singh

Advertisement

Jangan terperanjat apabila abang Benggali mengumumkan kepada media apa yang telah berjaya dirampas. Laporan pertama menunjukkan sejumlah 680 juta ringgit nilai barangan telah dirampas. Ini termasuk ratusan beg tangan mewah, jam tangan dan berkilo-kilo intan berlian.

Laporan kedua dari abang Benggali mengesahkan bagaimana Najib dan Rosmah didakwa memiliki 29 akaun bank. Juga telah dirampas 27 biji kereta mewah.

Pada bulan Jun 2018 – Benggali baik Amar Singh telah membuat kenyataan bahawa semua jumlah harta dan wang tunai yang dirampas dari premis dikaitkan dengan Najib dan Rosmah berjumlah antara 900 juta ke 1.1 bilion ringgit. Wow! Maka kita tidak hairan jika nilai ringgit dan ekonomi jadi kucar-kacir.

Hakikatnya – setahun sesudah 9 Mei – anak semua bangsa – bangsa semua agama – sedang merayakan Malaysia Baru. Ini negara baru kita. Ini kerajaan baru kita.

Tetapi dalam senyuman ini saya juga ada kesedihan. Ada juga kegusaran. Ada juga yang saya rasa akan membuatkan hati saya tidak tersenyum. Apa pekara-pekara itu. Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Advertisement

Artikel ini pertama kali dimuat naik di portal Malaysiakini. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysian Update.

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel