Connect with us

Terkini

Letak jawatan kerana tidak setuju dengan cara pengurusan kewangan SRC

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau meletak jawatan dalam SRC International Sdn Bhd kerana tidak bersetuju dengan cara pengurusan akaun dan kewangan syarikat yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.

Ismee, 54, yang pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SRC International, ketika membacakan penyataan saksi berkata, beliau mengemukakan surat peletakan jawatan dalam syarikat itu pada 6 Mei 2014 dan peletakan jawatannya secara rasmi ialah pada 15 Ogos 2014.

Loading…

“Dalam tempoh bulan Mei sehingga bulan Ogos itu, saya tidak lagi aktif melibatkan diri dalam pengurusan SRC.

“Saya meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan cara pengurusan syarikat yang dikendalikan Nik Faisal, terutama berhubung akaun dan kewangan syarikat,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada hari ke-21 perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Advertisement

Saksi pendakwaan ke-39 itu juga berkata, kebanyakan tindakan berkaitan SRC dilakukan Nik Faisal kerana beliau akan membentangkan sebarang kertas kerja kepada Lembaga Pengarah untuk diputuskan dan mengambil tindakan susulan bagi setiap projek yang ingin dilaksana oleh syarikat berkenaan.

Beliau berkata, bagi SRC International, sebarang keputusan Lembaga Pengarah perlu mendapat nasihat daripada Advisor Emeritus syarikat berkenaan iaitu Najib.

“Jika terdapat sebarang perkara yang perlu dibawa ke perhatian beliau (Najib), tindakan itu akan dilakukan oleh Nik Faisal sahaja kerana hanya dia yang bertindak sebagai ‘link’ antara Lembaga Pengarah SRC dan Najib.

“Tindakan melaporkan sebarang perbincangan atau keputusan berkaitan SRC akan dibuat oleh Nik Faisal sahaja kepada Najib,” katanya.

Ismee, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lembaga Tabung Haji, berkata beliau pernah menimbulkan persoalan berkaitan isu pentadbiran syarikat itu kepada Nik Faisal.

Advertisement

“Nik Faisal selalunya akan membalas dengan menyatakan perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui ‘kerajaan’.

“Pada pendapat saya, ‘kerajaan’ yang dikatakan oleh Nik Faisal adalah merujuk kepada Najib,” katanya.

Saksi itu berkata, sebarang keputusan atau tindakan serta perkara berbangkit akan dibawa oleh Nik Faisal untuk dibincangkan dan dipersetujui Najib.

“Saya juga tahu yang Najib selaku perdana menteri telah melantik saya sebagai seorang pengarah SRC, dan beliau juga mempunyai kuasa untuk memecat saya.

“Saya sedar dan mengetahui bahawa kuasa mutlak untuk ‘hire and fire’ mana-mana Ahli Lembaga Pengarah SRC adalah terletak di dalam tangannya (Najib),” katanya.

Advertisement

Sementara itu, Ismee memaklumkan mahkamah bahawa SRC ada membuka akaun dengan AmIslamic Bank pada 23 Ogos 2013 bagi tujuan operasi syarikat.

“Saya juga ada menurunkan tandatangan di atas borang pembukaan akaun bank yang dibekalkan Ambank dengan akaun bernombor 211-202-201065-0 atas nama SRC International Sdn Bhd.

“Selain tandatangan saya, terdapat juga tandatangan semua ahli Lembaga Pengarah SRC yang lain iaitu Datuk Suboh Yassin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Datuk Che Abdullah@Rashidi dan Nik Faisal,” katanya.

Ismee berkata, terdapat dua mesyuarat Lembaga Pengarah, masing-masing pada 23 Ogos 2011 dan 14 Februari 2012 yang dibentangkan Nik Faisal berhubung permohonan pembiayaan pertama dan kedua oleh SRC.

Saksi itu berkata dalam kedua-dua mesyuarat berkenaan, mereka telah bersetuju meneruskan permohonan pembiayaan pertama berjumlah RM2 bilion serta permohonan pembiayaan tambahan bagi jumlah sama (RM2 bilion) daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan kedua-dua pinjaman disokong oleh surat jaminan Kerajaan Malaysia.

Advertisement

“Daripada jumlah pembiayaan sebanyak RM4 bilion itu, lebih kurang RM40 juta telah digunakan untuk pembelian hartanah yang kemudiannya dijual kepada satu daripada anak syarikat SRC bernama Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB),” katanya yang turut memaklumkan bahawa GMSB ditubuhkan bagi menguruskan proses jual beli hartanah di kawasan Bukit Jalil.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.- Bernama

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel