Connect with us

Terkini

Lee Chong Wei, satu dalam seribu…

Bait-bait lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ‘Di Mana kan Ku Cari Ganti’ amat bersesuaian untuk menggambarkan situasi terkini di kala jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, mengumumkan persaraannya secara rasmi hari ini.

Apabila memperkatakan tentang bekas pemain nombor satu dunia itu, ramai menyifatkan kewujudan Chong Wei ibarat satu dalam seribu.

Sama ada menggambarkan keperibadiannya, sifat dan komitmen kepada sukan badminton, jelas suara-suara ramai  mengagumi apa yang dicurahkan sepanjang 19 tahun kerjaya sebagai pemain perseorangan tersohor negara.

Loading…

Malah, jika ada yang menonton filem biopik ‘Lee Chong Wei: Rise of the Legend’, pastinya mereka dapat menghayati kisah perjalanan pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik itu sebelum berada di persada dunia.

Advertisement

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu menamatkan kariernya hari ini dengan 69 gelaran termasuk 47 gelaran juara Siri Super sekali gus menobatkan beliau sebagai ‘King of Super Series’.

Chong Wei juga muncul juara Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali (2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012,  2013, 2014, 2016 dan 2018) selain muncul pemain pertama bukan dari Indonesia yang meraih kejuaraan Terbuka Indonesia sebanyak enam kali (2007, 2009, 2010, 2011, 2013, 2016).

Selain itu, Chong Wei juga muncul juara Terbuka Jepun sebanyak lima kali (2007, 2010, 2012, 2013 dan 2014) dan menyertai sebanyak lapan edisi Piala Thomas sejak penampilan pertamanya pada 2004. (2004, 2006, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2018).

Bekas pemain nombor satu dunia (21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012) itu muncul juara All-England sebanyak empat kali pada 2010, 2011, 2014 dan 2017 dan naib juara Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali pada 2011, 2013 dan 2015.

Sepanjang 19 tahun, Chong Wei mengharungi pelbagai ranjau termasuk mengalami kecederaan serius di bahu ketika final All-England 2012 hingga memaksa beliau menarik diri selain dipalit isu doping pada tahun 2014.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata Chong Wei pastinya akan dirindui kerana beliau sangat dikenali dengan sifat merendah diri walaupun sudah mencipta nama di peringkat dunia.

Advertisement

“Chong Wei seorang atlet yang tidak pernah menyusahkan pihak kami, kalau hendak minta apa-apa pun, beliau minta dengan cara yang baik. Buat atlet sedia ada dan atlet muda yang lain, contohilah sikap yang ada pada Chong Wei,” katanya ketika ditemui Bernama.

Bagi ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock pula, karakter yang ada pada Chong Wei tidak ada pada mana-mana pemain sekarang.

“Memang setiap pemain ada karakter masing-masing tapi apa yang Chong Wei ada, saya rasa beberapa generasi lagi mungkin baru ada. Sebagai jurulatih, saya tidak nampak lagi ada pemain yang ada karakter macam Chong Wei,” katanya yang pernah  menjadi watak utama ketika pemain itu mara ke final tiga temasya Sukan Olimpik.

Mengenai keputusan untuk bersara, Seu Bock berkata beliau secara peribadi gembira dengan keputusan yang dibuat oleh anak buahnya yang akan mencecah usia 37 tahun Oktober ini kerana ia membabitkan kesihatan dirinya.

Pada hemat beliau, dengan keputusan untuk bersara, Chong Wei telah melepaskan dirinya daripada ‘beban’ yang digalasnya selama ini.

Advertisement

“Saya gembira dengan keputusan yang dia buat kerana beban dia sudah hilang. Ramai tidak tahu, Chong Wei ini seorang yang sangat komited dan tidak pernah ambil mudah setiap latihan mahupun kejohanan yang disertainya. Dia bukan seorang yang mudah menyerah,” katanya.

Legenda badminton Indonesia Hariyanto Arb,i dalam antaranews.com., berkata Chong Wei adalah atlet yang bekerja keras dan pantang mundur serta mempunyai komitmen yang luar biasa.

Malah, Haryanto juga melihat Chong Wei sebagai atlet yang baik hati dan sentiasa menghormati pemain yang ditemuinya ketika pertandingan.

“Dia seorang yang sangat baik, tidak melampaui batas,, rendah hati, bahkan sangat menghormati seluruh atlet yang ditemuinya. Tidak pernah membeza-bezakan,” katanya dalam antaranews.com.

Sementara itu, Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM), dalam satu kenyataan media, berkata tidak pernah mendengar rungutan daripada ahli media mengenai layanan negatif Olahragawan Kebangsaan empat kali itu.

Advertisement

“SAM tidak pernah mendengar atau menerima rungutan daripada ahli mengenai layanan negatif daripada pemain ini dalam apa jua keadaan, termasuk selepas kalah dalam pertandingan. Chong Wei tidak pernah menghampakan wartawan sukan,” kata Presiden SAM, Jasni Shafie.

Insan yang bernama Lee Chong Wei telah meninggalkan legasi yang hebat dalam sejarah sukan negara khususnya badminton Malaysia.

Sudah tiba masa untuk wira negara itu berehat dan memberi tumpuan kepada keluarganya selepas mengerah keringat selama 19 tahun untuk Malaysia.

Terima kasih, Datuk Lee Chong Wei. Selamat bersara, Datuk ! – Bernama

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel