‘Dalam bahasa Melayu, hanya ada kamu dan dia, yang tidak mengira jantina “him” atau “her”’, Jangan ketawakan Mat Sabu hanya kerana bahasa Inggerisnya

0
6152

Oleh Timmy Say

Apakah masa depan seseorang yang tiada ijazah, pernah dibuang Institut Teknologi Mara dan tidak fasih berbahasa Inggeris?

Jika soalan ini ditanya pada mana-mana warga Malaysia hari ini, sudah tentu hampir semua jawapan yang terbayang di minda adalah malap.

Namun, insan bernama Mohamad Sabu yang memiliki kriteria sedemikian, kini adalah menteri pertahanan kita.


Loading…

Baru-baru ini, beliau ditertawakan kerana menyampaikan ucapannya dalam bahasa Inggeris yang tidak fasih pada Dialog Shangri-La, Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-18 di Singapura pada 1 Jun lalu.

Kalau kita mentertawakan Mat Sabu kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, siapa yang sedang mentertawakan kita yang ada ijazah, ijazah sarjana (Master) dan kedoktoran (PhD) serta fasih berbahasa Inggeris ini yang masih terkapai-kapai mencari nama sendiri?

Sebagai penceramah politik bahasa Melayu untuk berdekad lamanya, manalah beliau pernah jangka bahasa Inggeris akan menjadi sebegitu penting di dalam kerjayanya.

Oleh itu, apabila Mat Sabu tidak fasih berbahasa Inggeris, itu normal, tiada yang pelik. Beliau banyak melakukan kesilapan “grammar”, itu lumrah, tidak menjadi masalah. Dalam bahasa Melayu, hanya ada kamu dan dia, yang tidak mengira jantina “him” atau “her”.

Disebabkan tidak fasih, apakah Mat Sabu tidak harus digalakkan cuba berbahasa Inggeris? Apakah Mat Sabu perlu malu berbahasa Inggeris? Apakah Mat Sabu perlu berbahasa Melayu dan guna penterjemah?


Jika begitu, bila masanya Mat Sabu hendak berbahasa Inggeris?

Ramai lagi orang memiliki ijazah, Master dan PhD yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Malu apa kalau tidak fasih berbahasa Inggeris? Lebih malu ialah rakyat Malaysia yang tidak tahu berbahasa Melayu.

Hakikatnya, orang yang malu bertutur dalam bahasa yang mereka tidak fasih tidak akan dapat mempelajari bahasa itu. Oleh itu, mereka yang berani bertutur dalam keadaan semua orang tahu mereka tidak fasih berbahasa Inggeris perlu diberi galakan.

Dari sudut pelantikan sebagai menteri pertahanan, tidak dinafikan Mat Sabu mempunyai jurang besar ilmu dalam bidang pertahanan. Ramai yang berpendapat jawatan itu tidak sesuai dengannya, termasuk penulis.

Tidak sesuai itu ya, tapi soal layak atau tidak, itu soal lain. Ini kerana jawatan menteri pertahanan adalah jawatan politik.

Untuk memegang jawatan menteri pertahanan, syaratnya ialah seseorang itu mestilah daripada parti yang memenangi pilihan raya umum.

Tiada syarat menteri pertahanan itu mestilah pakar senjata atau pertahanan mahupun fasih berbahasa Inggeris. Seorang akauntan yang gagal juga boleh menjadi menteri kewangan, contohnya.

Oleh itu, dari sudut politik, Mat Sabu layak memegang jawatan itu atas kapasitinya sebagai presiden Amanah, salah satu parti komponen yang menawan Putrajaya tahun lepas. Tiada sesiapa yang harus mempertikaikan kelayakan tersebut.

Ada banyak perkara berkaitan politik yang boleh digunakan sebagai peluru untuk menyerang Mat Sabu, tetapi bagi penulis, menghentam Mat Sabu kerana tidak fasih berbahasa Inggeris adalah keterlaluan.

Serangan itu mungkin adalah serangan balas terhadap kritikan ke atas Ahmad Zahid Hamidi yang dicemuh mengenai tahap bahasa Inggerisnya pada 2012 ketika berucap selaku menteri pertahanan. Persoalannya mengapa mahu mengikut jejak hipokrit menyerang Mat Sabu dalam isu bahasa Inggeris?

Pasukan media Mat Sabu perlu lebih terbuka apabila beliau diserang kerana isu berbahasa Inggeris. Daripada cuba menegakkan benang basah, akui saja Mat Sabu sedang berusaha memperbaiki bahasa Inggeris agar dapat berkomunikasi lebih mudah tanpa penterjemah di forum antarabangsa.

Sempena Hari Raya ini, pasukan Mat Sabu perlu berbuka hati memohon maaf atas kelemahan bos mereka dan berjanji membantunya menguasai bahasa Inggeris secepat mungkin.

Sesungguhnya tiada apa yang perlu dimalukan kerana ramai di luar sana yang sebenarnya kagum melihat Mat Sabu.


Mereka masih tertanya-tanya bagaimana seorang pemimpin yang tiada ijazah dan dibuang daripada universiti boleh berjaya menjadi menteri pertahanan sedangkan mereka yang berkelulusan tinggi pun tidak layak diberi peluang berucap di atas pentas menggunakan kefasihan bahasa Inggeris mereka.

Bagi mereka, “as long as they can understand, it is good enough”.

Ada banyak lagi perkara yang boleh digunakan untuk menyerang Mat Sabu, tetapi jangan kritik kelemahan bahasa Inggerisnya kerana ramai lagi ahli politik di Malaysia ini yang perlu diserang kerana tidak fasih berbahasa Inggeris. Jauhilah sifat hipokrit.

Bagaimanapun, kritikan dan serangan terhadap jawapan menteri yang tidak sesuai atau memberikan fakta salah dalam isu pertahanan itu satu tindakan wajar.

Meskipun sesuatu jawatan itu tidak sesuai dengan pengalaman seseorang ahli politik, menjadi tanggungjawab mana-mana ahli politik untuk menggalas tugas itu dengan penuh akauntabiliti dan melaksanakan sebaik mungkin agar tidak menjejaskan nama baik negara.

Selamat Hari Raya, maaf zahir batin.

Artikel ini pertama kali di muat naik di portal FMT adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysian Update.

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...