Connect with us

Terkini

Tarikh dah tutup, KJ tak layak tanding jawatan Presiden MPM

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) tidak layak bertanding untuk jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu esok, selepas gagal menepati tarikh tutup pencalonan.

Ini berikutan, keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) hari ini, yang mendapati MPM terkhilaf berhubung tarikh tutup borang pencalonan yang disangkakan pada 15 Jun.

Loading…

Selain itu, menurut PPS keputusan Lembaga Eksekutif MPM menerima lima borang berkenaan boleh dipertikai kerana setiausaha agung MPM memaklumkan ia hanya diputuskan oleh presiden dan timbalannya sahaja tanpa merujuk anggota exco yang lain.

“Sehubungan itu, PPS mendapati berlaku ketidakakuran dalam proses pencalonan tersebut dan keadaan ini adalah tidak mengikut peraturan dan syarat yang telah ditetapkan,” menurut PPS dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Dalam kenyataan sama, PPS turut memaklumkan telah menerima aduan daripada Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) pada Selasa lalu, berhubung bantahan terhadap pencalonan pada AGM tersebut.

PPS memaklumkan telah menjalankan siasatan dan memanggil kedua-dua pihak (MASCA dan MPM) bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut.

Selain Khairy, empat calon lain termasuk Timbalan Presiden, John Ng dan Setiausaha Agung, Siti Zaharah Abdul Khalid, serta dua calon lain juga bakal menerima nasib sama kerana gagal mengemukakan borang pencalonan mengikut tempoh ditetapkan.

Kemelut pemilihan MPM tercetus apabila Khairy dikatakan menghantar borang pencalonan pada 11.30 malam 15 Jun bersama John Ng dan tiga calon lain, sedangkan tarikh akhir yang tertera di borang pencalonan adalah pada 11.59 malam, 14 Jun.

Justeru, semalam, Presiden MASCA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, yang juga calon presiden, mengemukakan notis semakan semula status kelayakan terhadap pencabarnya, untuk bertanding jawatan tertinggi badan induk itu.

Advertisement

Sementara itu, Siti Zaharah ketika dihubungi Bernama, berkata AGM tersebut akan tetap berlangsung esok.

“Apa-apa keputusan akan ditentukan pada mesyuarat agung esok,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung keputusan PPS yang mungkin memberi laluan kepadanya untuk menang tanpa bertanding, Megat Shahriman berkata, beliau menyerahkan kepada MPM untuk membuat keputusan.

“PPS telah mengeluarkan kenyataan dan MPM sepatutnya bersikap profesional dalam hal ini. Eloklah kiranya MPM ikut kepada perlembagaan yang telah ditetapkan. Perkara ini tidak akan berlaku kalau sebelum ini mereka ikut cara yang betul,” katanya.

Mesyuarat Agung Tahunan MPM dijadual diadakan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, bermula 10 pagi esok.

Advertisement

Jawatan presiden menjadi perebutan antara Khairy dan Megat Shahriman selepas penyandangnya SM Nasarudin SM Nasimuddin mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang dipegangnya sejak empat tahun lepas.

Sementara, John Ng daripada Persatuan Ping Pong Malaysia pula bakal ditentang Dr R. Radha Krishnan daripada Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia/Persatuan Boccia Malaysia bagi jawatan nombor dua badan induk itu.

Lapan pencalonan bagi mengisi lima jawatan naib presiden melibatkan persaingan antara Hadfizah Abd Khafidz (Persatuan Tenpin Bowling Para Malaysia), K M Rajendran (Taekwondo Malaysia), Muhd Iqbal Sulaiman (Tenis Berkerusi Roda Malaysia), Dr Ang Kean Koo (Persekutuan Bola Keranjang Kerusi Roda Malaysia), Dr Naharuddin Hashim (Persatuan Badminton Malaysia) dan Mejar Azhari Abdullah (Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia).

Dua lagi pencalonan untuk mengisi satu kuota wanita bagi jawatan naib presiden membabitkan saingan antara Siti Zaharah Abdul Khalid (Persatuan Boling Padang OKU Malaysia) dan Noor Syahieda Mat Shah (Persatuan Powerlifting Para Malaysia).

Jawatan Setiausaha Agung pula bakal menyaksikan pertandingan antara Datuk R. Subramaniam (Persatuan Olahraga Para Malaysia) dan Irena Chang (Persatuan Bola Tampar OKU Malaysia), manakala S Kumarusamy (Persatuan Para Karom Malaysia) tidak menerima tentangan bagi jawatan bendahari.– Bernama

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel