Connect with us

Mahkamah

1MDB: Yayasan Tun Rahah mahu selesai kes lucut hak luar mahkamah

KUALA LUMPUR – Yayasan Tun Rahah menawarkan untuk menyelesaikan pertikaian berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), di luar mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa yayasan tersebut telah menghantar surat bertarikh 9 Julai berhubung tawaran itu.

Loading…

“Pihak pemohon (pendakwa raya) ada menerima surat dari responden (yayasan) berkenaan dengan satu tawaran penyelesaian. Pohon satu tarikh singkat untuk saya merujuk surat kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Nik Haslinie semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di sini, hari ini.

Peguam Amin Othman yang mewakili Yayasan Rahah mengesahkan pihaknya menghantar surat berkenaan dan memohon tarikh singkat untuk pihak SPRM membalas perkara tersebut.

Advertisement

Mahkamah menetapkan 26 Julai untuk sebutan semula kes itu.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Nik Haslinie berkata pendakwaan tidak boleh mendedahkan secara terperinci kandungan surat terbabit kerana perlu berbincang dengan pengarah perundangan terlebih dahulu.

Sementara itu, Nik Haslinie berkata, dua lagi responden iaitu UMNO Bahagian Pekan dan Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Pekan, Datuk Ibrahim Awang Ismail akan membuat permohonan untuk membatalkan permohonan melucut hak terhadap mereka atas alasan merit dan teknikal.

Terdahulu mahkamah membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas wang yang disita daripada empat responden iaitu Badan Perhubungan UMNO Kedah, Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, Sarawak United People’s Party dan Habib Jewels Sdn Bhd.

Mahkamah menetapkan sebelum atau pada 13 September pendakwaan mewartakan notis tersebut dan juga untuk pengurusan kes untuk empat responden itu.

Advertisement

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam notis usul itu, pendakwa raya memohon suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi supaya disiarkan satu notis dalam warta di bawah Seksyen 61(2) AMLATFPUAA) 2001, bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut apa-apa kepentingan dalam harta yang dirampas daripada semua responden untuk hadir atau melalui peguam di hadapan Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan. – Bernama

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel