BUKANLAH niat Awang nak menyibuk hal dalaman PKR. Tapi macam berjuta-juta rakyat Malaysia juga, Awang terkejut dan teruja dengan drama melibatkan orang-orang besar dalam parti itu.
Maklumlah, sejak video yang mengaitkan Tuk Seri Azmin dengan seorang lelaki lain muncul, kecoh satu Malaysia.
Awang mulanya terfikir, habislah Tuk Seri Azmin kali ini.
Tak ada siapa yang akan selamat dalam politik dengan video macam itu kalau betul orang itu terlibat.
Tapi Tuk Seri Azmin dari hari pertama tegas mengatakan dia tak terlibat.
Dia kata dia jadi mangsa fitnah. Maka diangkutlah polis beberapa orang bagi membantu siasatan sahih tidak video itu dan siapa dalang di belakangnya.
Kenyataan Tuk Seri Hamid Bador pun sama memeranjatkan. Rupanya memang dalang paling tinggi adalah dalam parti itu sendiri. Tuk Seri Azmin tak disahkan pelaku dalam video itu.
Lapang dada Tuk Seri Azmin agaknya.
Siapa pun tak tidur malam dibuatnya. Nama baiknya terjejas.
Awang memang angkat topi pada beliau. Masa nak rebut jawatan Timbalan Presiden parti, dia menang juga walaupun orang atas-atas awan dalam parti itu terang-terang tak sokong dia.
Macam-macam dengarnya mereka buat nak pastikan dia kalah.
Bila keluar video ini, padanlah dia marah sangat dengan beberapa individu tertentu dalam partinya.
Awang dengar punya marahnya beliau sampai menarik balik jemputan rumah terbuka hari raya di kediamannya.
Tuk Seri Anwar, Presiden parti, pun nampaknya dah sedar, bukan calang-calang orang Tuk Seri Azmin ini.
Betullah Tuk Seri Azmin pernah bekerja dengan Tuk Seri Anwar. Murid takkan nak kekal murid sepanjang masa kan? Sesekali bertemu juga buku dengan ruas!
Kita hidup dalam tahun 2019, ini kan abad ke-21! Tapi yang peliknya, kita belum boleh selesaikan masalah yang amat asas bagi rakyat – air.
Tak usahlah Awang nak sebutkan pentingnya air dalam kehidupan rakyat. Hal air macam-macam dah kita dengar. Kerajaan sudah belanjakan berbilion ringgit dalam soal ini.
Air diswastakan, begitu hasilnya. Kerajaan pula kena tanya balik syarikat berkenaan. Duit rakyat semua tu! Tapi masalah air tak selesai juga.
Sehari dua ini, lima juta pengguna air di Lembah Klang terjejas oleh sebab gangguan bekalan air. Kali ini dengarnya berpunca daripada tiga pemancing ikan yang cemarkan sungai menggunakan tong minyak.
Ini kerja sabotaj. Awang mahu polis cari mereka, dakwa mereka dan jatuhkan hukuman yang setimpal. Kerja mencemarkan sungai bukan baru dah banyak kali kita dengar. Alam sekitar kita makin parah.
Tak lama dulu kes di Johor, sampai sekolah terpaksa ditutup. Kehidupan rakyat terancam.
Awang sakit hati betul dengan perbuatan tak bertanggungjawab seperti ini.
Kita semua tahu banyak kilang di sepanjang sungai. Banyak juga kilang haram.
Mereka dah bertahun-tahun melepaskan kotoran termasuk bahan kimia dan toksik ke dalam sungai.
Awang setuju sangat bila Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) cadangkan supaya dihentikan semua kegiatan ekonomi di sepanjang sungai.
Rakyat tak peduli apa cadangan SPAN atau pakar air. Mereka cuma mahukan kejadian seperti ini jangan berlaku lagi. Dulu kerajaan BN, takkanlah tak ada perubahan dalam kerajaan baharu hari ini?
Tuk Menteri yang bertanggungjawab, Dr Xavier Jayakumar kenalah bertindak tegas.
Gunakanlah segala kuasa yang ada untuk menyelesaikan masalah ini. Tuk Menteri perlu ingat, rakyat bertambah, keperluan air pun tentu bertambah. Carilah penyelesaian sebaiknya.
Awang nak tunggu bila tak berlaku gangguan air?
Hebat juga
Tuk Seri Azmin!
Apa berlaku kepada bekalan air kita?
Sumber: AWANG PAKU SERPIH/Sinar Harian