Connect with us

Terkini

Hasil jualan kapal Equanimity akan dideposit ogos ini

KUALA LUMPUR – Hasil jualan kapal Equanimity kira-kira RM527.4 juta dijangka didepositkan ke dalam Akaun Pemulihan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) atau Kementerian Kewangan pada Ogos ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, bagaimanapun jumlah perbelanjaan yang digunakan untuk menguruskan kapal layar itu akan ditolak terlebih dahulu daripada hasil jualan tersebut.

Loading…

“Hasil jualan telah diterima sepenuhnya pada 23 April, 2019 dan kini disimpan di dalam Sheriff’s Stakeholder Account (sebuah firma guaman tempatan) untuk tempoh tiga bulan bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin tahu mengenai nilai bersih hasil penjualan kapal Equanimity dan ke mana wang tersebut akan disalurkan.

Advertisement

Guan Eng berkata, hasil jualan kapal Equanimity akan digunakan untuk melunaskan komitmen hutang 1MDB.

Menurut beliau, nilai hutang keseluruhan semasa 1MDB berjumlah RM51.01 bilion, dengan RM40.6 bilion adalah prinsipal dan RM10.44 bilion adalah faedah.

Kapal Equanimity telah dijual kepada pembida tertinggi iaitu Genting Malaysia Bhd.

Dalam perkembangan berkaitan 1MDB, Lim berkata pihak kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan ganti rugi dan pampasan daripada pelbagai pihak termasuklah bank terkemuka, Goldman Sachs Group Inc.

Menjawab soalan tambahan mengenai aset 1MDB yang diajukan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian), beliau berkata kerajaan masih belum mendapat anggaran aset yang dimiliki 1MDB termasuklah aset tanah dan sebagainya.

Advertisement

“Kita masih belum dapat anggaran sebenar kerana dari aspek perundangan, ia belum dapat dilengkapkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan terkini projek Tun Razak Exchange (TRX), Lim berkata kerajaan perlu menjalankan proses detoksifikasi ke atas projek tersebut bagi mengembalikan keyakinan pelabur untuk turut serta dalam projek itu dan ia dapat diteruskan.

“Mengenai keuntungan pula, sama ada kita akan dapat hasil atau keuntungan (daripada projek TRX), ia hanya dapat diketahui apabila projek ini matang, iaitu dalam tempoh lima hingga tujuh tahun, sekiranya keadaan pasaran dan kewangan mengizinkan,” katanya.

Guan Eng turut berkata beliau mengharapkan pelaburan dan perbelanjaan modal boleh didapatkan semula.- Bernama

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel