Connect with us

Mahkamah

Pinjaman RM4b, SRC tanpa projek antara perbicaraan kes Najib minggu ini

KUALA LUMPUR – Ke mana perginya RM4 bilion yang dipinjam SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP)? Mahkamah Tinggi diberitahu tiada sebarang projek yang wujud menggunakan wang RM4 bilion yang dipinjam oleh syarikat itu.

Tidak seperti projek lain yang mendapat desakan untuk disegerakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tiada tekanan untuk menjalankan projek berkaitan pinjaman RM4 bilion itu.

Persoalan ini timbul semasa perbicaraan kes Najib yang berdepan dengan tujuh pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC minggu ini.

Loading…

Berikut adalah ringkasan keterangan saksi semasa perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Advertisement

HARI KE-33 (8 Julai):

Bekas Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan & Aktuari, Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Maliami Hamad berkata arahan bagi menyegerakan proses penyediaan Memorandum Jemaah Menteri (MJM), untuk pengeluaran Surat Jaminan Kerajaan berhubung kelulusan pinjaman pertama SRC International Sdn Bhd sebanyak RM2 bilion datang daripada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui orang tengah.

Maliami berkata beliau telah menerima tekanan supaya MJM disediakan segera untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2011.

“Masa adalah terhad. Arahan keperluan untuk menyegerakan penyediaan MJM juga bukan sahaja datang daripada SRC tetapi Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) sendiri iaitu Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang saya tahu menerima arahan daripada Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib.

“Saya turut menerima arahan sama daripada arwah Datuk Azlin Alias yang pada masa itu merupakan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri. Saya percaya bahawa arahan arwah Datuk Azlin Alias adalah terus daripada Perdana Menteri,” kata saksi pendakwaan ke-43 itu.

Advertisement

Maliami berkata arahan daripada Wan Abdul Aziz kepada beliau untuk mempercepatkannya kerana SRC diberi perhatian khas oleh perdana menteri sendiri dan keperluan dana SRC adalah mendesak.

Maliami memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa SRC hanya memberikan satu perenggan justifikasi bagi permohonan mendapat jaminan kerajaan untuk pinjaman pertama sebanyak RM2 bilion pada 2011 yang tidak mencukupi untuk dibentangkan kepada Kabinet kerana maklumat yang diberikan adalah terhad.

Beliau berkata pada masa itu, maklumat yang diberikan kepadanya adalah terhad dan surat daripada SRC memohon jaminan kerajaan hanya mempunyai dua perkara iaitu syarat pinjaman dan justifikasi pinjaman, yang hanya satu perenggan.

“Ini tidak cukup untuk dikemukakan kepada Kabinet,” katanya.

Justifikasi itu menyatakan “tujuan jaminan kerajaan adalah untuk memastikan bekalan sumber tenaga berterusan dalam jangka masa panjang untuk kegunaan negara ini dan penjanaan ekonomi negara.”

Advertisement

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim mengapa beliau menurunkan tandatangan pada surat dari Kementerian Kewangan kepada KWAP yang memohon untuk mengeluarkan wang pinjaman kepada SRC sebelum jaminan kerajaan dimuktamadkan, saksi itu berkata beliau hanya mengikut arahan.

Suhaimi menyoal Maliami kenapa beliau menandatangani surat itu memandangkan ia bukan amalan biasa kementerian disebabkan surat jaminan kerajaan belum dikeluarkan lagi, saksi itu menjawab: “Saya sebagai pegawai yang bertanggungjawab terpaksa mengikuti arahan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu kerana beliau ada memaklumkan Perdana Menteri meminta untuk pengeluaran disegerakan.

HARI KE-34 (9 Julai):

Bekas Timbalan Ketua Perbendaharaan Dasar Kementerian Kewangan memberitahu mahkamah bahawa tindakan menghantar surat permohonan agar syarikat SRC diletak di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) terus kepada perdana menteri untuk diluluskan, tanpa melalui peringkat bawahan terlebih dahulu, bukan amalan biasa dalam prosedur berhubung perkara itu.

Mat Noor Nawi berkata bekas Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan SRC Nik Faisal Ariff Kamil telah menghantar surat bertarikh 9 Jan 2012 berhubung perkara tersebut terus kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan perdana menteri ketika itu.

Advertisement

Saksi ke-44 itu berkata ia ‘berbeza sedikit’ daripada kebanyakan permohonan, yang akan hantar kepada Kementerian Kewangan yang kemudiannya akan menyediakan kertas untuk keputusan atau sokongan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan diangkat kepada Menteri Kewangan Kedua, dan jika perlu, kepada Menteri Kewangan.

“Ini saya kategorikan sebagai pendekatan pertama,” katanya.

Mat Noor berkata beliau kategorikan permohonan SRC sebagai ‘proses membuat keputusan dari atas ke bawah’ dan menjelaskan bahawa ia bergantung kepada apa yang diminitkan perdana menteri.

“Bergantung pada minit Perdana Menteri, beliau (perdana menteri) akan minit sila pertimbang sebaik mungkin, atau sila kaji. Jika ini minit beliau, maka saya akan gunakan pendekatan pertama, bermula dari bawah iaitu sediakan kertas, dapatkan sokongan dan persetujuan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Perdana Menteri dan barulah kami maklumkan pada syarikat.

“Kedua, bila Perdana Menteri minitkan “saya setuju dengan cadangan ini,” kalau itu minit Perdana Menteri, maka kami hanya melaksanakan keputusan itu tanpa perlu ikut cara yang tadi, yang mula dari bawah naik ke atas sebab Perdana Menteri telah beri persetujuan,” katanya.

Advertisement

Menjawab soalan Suhaimi permohonan SRC dikategorikan dalam pendekatan mana, saksi itu menjawab,” pendekatan kedua kerana Najib telah menulis “saya setuju dengan cadangan ini, sila uruskan.”

Saksi itu juga memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Najib menandatangani draf memorandum berhubung permohonan pemindahan SRC untuk diletakkan di bawah MKD sambil berdiri di tepi kereta.

Mat Noor berkata beliau menemui Najib di kawasan bersebelahan Balai Menunggu, Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja (TUDM), Subang pada 3 Feb 2012, untuk mendapatkan tandatangannya bagi memorandum berkaitan pemindahan SRC dari syarikat induknya dan cabang pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada MKD, badan korporat yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa setelah kereta yang membawa perdana menteri berhenti bersebelahan Balai Menunggu, beliau keluar untuk bertemu Najib yang kemudiannya meneliti kandungan memorandum itu sambil berdiri bersebelahan kereta.

“Selepas meneliti keempat-empat muka surat memorandum itu, Najib menandatangani dokumen itu dan membuat catatan atas muka pertama sambil letak draf memorandum itu di atas bonet kereta,” kata saksi itu.

Advertisement

Mat Noor berkata sebelum menandatangani dokumen itu, Najib membuat catatan menyatakan persetujuan dengan cadangan pemindahan itu.

HARI KE-35 (10 Julai):

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan yang juga bekas Pengerusi KWAP Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Najib telah mengarahkan supaya KWAP mempercepatkan pengeluaran wang pinjaman kepada SRC, lebih awal sebelum surat jaminan kerajaan dikeluarkan yang merupakan amalan luar biasa.

Wan Abdul Aziz berkata Najib mengarahkan demikian dalam satu panggilan telefon namun beliau tidak mengingati bila panggilan telefon itu dibuat. Panggilan telefon itu merujuk kepada permohonan SRC untuk mendapatkan pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP pada tahun 2011.

“Saya telah menerima panggilan daripada Datuk Seri Najib supaya Kementerian Kewangan keluarkan surat kepada KWAP supaya KWAP dapat keluarkan lebih awal pinjaman yang dipohon, dan akan disusuli dengan surat jaminan kerajaan secepat mungkin,” kata saksi itu.

Advertisement

Kepada soalan Suhaimi adakah pengeluaran pinjaman sebelum surat jaminan kerajaan dikeluarkan itu adalah amalan biasa, saksi itu berkata:” Tidak, sebaliknya ia adalah satu amalan luar biasa”.

Ketika ditanya kenapakah arahan luar biasa itu tetap dilakukan, Wan Abdul Aziz berkata ia kerana kerajaan telah menjadi penjamin kepada pinjaman terbabit dan ia telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata Najib meminta supaya pinjaman sebanyak RM1 bilion yang dipersetujui KWAP kepada SRC dinaikkan kepada RM2 bilion.

Wan Abdul Aziz berkata KWAP pada asalnya hanya bersetuju untuk menyediakan pinjaman sebanyak RM1 bilion kepada SRC namun Najib memaklumkan kepada beliau bahawa pinjaman sepatutnya RM2 bilion.

“Pernah sekali ketika saya berjumpa Datuk Seri Najib di pejabat Perdana Menteri berkenaan tugasan rasmi Kementerian Kewangan, Datuk Seri Najib telah meminta saya supaya mempercepat proses kelulusan permohonan pinjaman SRC daripada KWAP.

Advertisement

“Beliau juga memberitahu saya bahawa pinjaman SRC berjumlah RM2 bilion adalah memadai dan bukan pada jumlah RM1 bilion,” kata Wan Abdul Aziz sambil menambah perjumpaan itu hanyalah antara dia dan Najib, namun beliau tidak ingat tarikhnya.

Wan Abdul Aziz berkata KWAP bersetuju untuk menyediakan pinjaman berjumlah RM1 bilion sahaja.

Beliau berkata dalam Mesyuarat Panel Pelaburan, salah seorang ahli panel mencadangkan supaya Najib dimaklumkan mengenai keputusan KWAP yang hanya mahu memberi pinjaman berjumlah RM1 bilion sahaja kepada SRC.

Wan Abdul Aziz berkata beliau dan Datuk Azian Mohd Noh, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP ketika itu, telah menemui Najib untuk memaklumkan keputusan Panel Pelaburan KWAP sebelum beliau sekali lagi bertemu Najib dan diberitahu bahawa jumlah RM2 bilion adalah memadai.

Saksi itu berkata sekiranya tidak ada “komunikasi daripada Najib berhubung jumlah pinjaman kepada SRC itu”, pihak KWAP hanya akan meluluskan RM1 bilion.

Advertisement

HARI KE-36 (11 Julai):

Wan Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tiada sebarang projek yang wujud menggunakan wang RM4 bilion yang dipinjam oleh SRC daripada KWAP.

Beliau berkata berbeza dengan projek lain yang mendapat desakan untuk disegerakan oleh bekas perdana menteri, tiada desakan untuk disegerakan bagi projek berkaitan pinjaman RM4 bilion itu.

Suhaimi juga menyoal sama ada semasa pertemuan antara Wan Abdul Aziz dan Najib, bekas Perdana Menteri itu telah memberi bayangan mengenai rancangan dan masa hadapan SRC, namun saksi itu berkata beliau hanya diberitahu bahawa syarikat itu memerlukan pembiayaan segera dan pengeluaran dana lebih awal

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Advertisement

Perbicaraan bersambung 15 Julai. – Bernama

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel