SPRM siasat kes-kes punitif berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara

 2 total views,  2 views today

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan satu pasukan petugas untuk menyiasat kes-kes yang menggesa tindakan punitif berhubung kelemahan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, SPRM telah bertemu dengan Ketua Audit Negara untuk mengkaji kes-kes yang memerlukan tindakan punitif.


Loading…

“Jadi dari segi Laporan Ketua Audit Negara, kita akan mengkajinya sekali lagi dan melihat sama ada ia melibatkan wang dan situasi yang membolehkan kita membuka kertas siasatan.

“Oleh itu, berdasarkan maklumat tersebut, kita sekarang telah menubuhkan pasukan petugas untuk memulakan siasatan,” kata beliau selepas merasmikan Bengkel Serantau mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari di Selatan Asia, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Latheefa, berkata tiada tempoh ditetapkan tentang bila siasatan akan bermula.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, yang dikeluarkan pada 15 Jun, mendedahkan beberapa isu termasuk elemen manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk kuota pekerja asing sehingga menyebabkan kehilangan hasil kepada negara. – Bernama