LHDN saman Tengku Adnan, tuntut tunggakan bayaran cukai RM57.17j

0
3118
Tengku Adnan Tengku Mansor

Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengemukakan saman terhadap bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menuntut RM57.17 juta membabitkan cukai pendapatan tidak dibayar sejak tahun 2012.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai lalu dengan menamakan Tengku Adnan yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan selaku defendan.


Loading…

Laporan sebuah portal mendedahkan, melalui tuntutan saman berkenaan, LHDN mendakwa Tengku Adnan masih terhutang cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 hingga tahun taksiran 2017 seperti dinyatakan melalui Notis Taksiran yang dihantar pada 15 Mac 2019 dan diterima defendan pada 22 Mac lalu.

LHDN mendakwa, Tengku Adnan gagal mematuhi notis berkenaan dan membayar amaun dituntut dalam masa 30 hari daripada notis itu dikeluarkan, lapor Berita Harian.

Jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang oleh Tengku Adnan sejak 2012 hingga 2017 termasuk faedah ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05

(2016) dan RM26,880,844.97 (2017).


Tengku Adnan kini berdepan dua tuduhan rasuah berasingan di Mahkamah Tinggi, iaitu masing-masing menerima wang RM3 juta dan RM1 juta berhubung penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ia sebagai upah bagi dirinya meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sementara itu, kerajaan melalui LHDN pada 25 Jun lalu turut memfailkan saman sama terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menuntut bekas perdana menteri itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Dalam penyataan tuntutan itu, kerajaan berkata, bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017, Najib (defendan) ditaksirkan dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM116,173,374.12; RM320,929,932.31; RM891,573,465.46; RM119,144,655.51; RM16,879,500.03; dan RM643,445.21 dan RM346,471.41 dinyatakan melalui Notis Taksiran (Tambahan) bertarikh 20 Mac 2019.

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...