Connect with us

Mahkamah

‘Salinan resit bayaran RM2 juta tiada dalam buku resit Umno’ – Saksi

Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak mengetahui bagaimana salinan pendua resit pembayaran RM2 juta yang diberikan Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong tidak berada di dalam buku resit rasmi Umno.

Timbalan Ketua Jabatan Pengurusan Kewangan, Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Farahdzilah Abd Kadir, 38, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim pada perbicaraan hari ke-11 kes rasuah RM2 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Julia: Boleh maklumkan kepada mahkamah adakah terdapat salinan pendua bagi resit 376241 (resit pembayaran RM2 juta) di dalam buku resit rasmi UMNO?

Loading…

Farahdzilah: Tidak ada.

Advertisement

Julia: Kenapa tidak ada?

Farahdzilah: Saya tidak tahu.

Farahdzilah, yang bertugas di Ibu Pejabat Umno PWTC sejak Jun 2004 berkata salinan kedua dan ketiga resit tidak pernah dikeluarkan daripada buku resit rasmi Umno ataupun disimpan secara berasingan di dalam fail.

“Kebiasaannya, jika resit dikeluarkan daripada buku resit rasmi Umno, salinan pendua bagi resit itu ditinggalkan di dalam buku resit berkenaan.

“Bila pegawai ‘incharge’ akan memasukkan butiran mengenai resit yang digunakan ke dalam sistem komputer bagi tujuan pengauditan, mereka akan rujuk salinan pendua resit yang ada pada buku resit berkenaan,” katanya.

Advertisement

Disoal Julia apakah prosedur yang dilakukan oleh bahagian pengurusan kewangan jika Umno menerima sumbangan daripada mana-mana pihak, Farahdzilah berkata: “Sekiranya Umno menerima sumbangan daripada mana-mana pihak, kebiasaannya ibu pejabat akan keluarkan resit dan resit asal akan diberi kepada pemberi manakala salinan kedua dan ketiga disimpan di dalam buku resit rasmi”.

Menjawab soalan peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan, saksi pendakwaan ke-21 itu bersetuju bahawa buku resit rasmi Umno digunakan secara rawak dan tidak teratur.

Pada 16 Julai lepas, Chai dalam keterangannya di mahkamah mengesahkan pembayaran cek RM2 juta kepada Tengku Adnan adalah untuk dana politik.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Advertisement

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung. – Bernama

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel