Saya pun bantah Lynas dulu, kata Adun Beserah

0
34
Adun Beserah Andansura Rabu

Pihak yang menentang pembangunan kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng di Kuantan, perlu menamatkan kekeliruan yang sudah berlarutan sekian lama.

Adun Beserah Andansura Rabu berkata pertikaian mengenai kilang yang berasal dari Australia itu sudah mengambil masa hampir 15 tahun dan menjadi ‘modal’ tiga pilihan raya umum.


Loading…

Sedangkan, sejak mula beroperasi dari hujung tahun 2012 hingga kini, pakar dalam pelbagai bidang termasuk sains, kesihatan dan alam sekitar telah secara konsisten menyatakan Lynas beroperasi dengan baik dan patuh undang-undang.

“Saya sendiri antara yang menentang semasa awal ura-ura mendengar Lynas hendak dibuka…daripada kawasan itu masih tanah kosong sehingga penghujung tahun 2014. Lynas beroperasi di kawasan saya dan saya sendiri antara penduduk paling hampir dengan kilang itu.Iklan

“Saya pantau sendiri perkembangan dan bacaan di kawasan itu dan dapati tiada sebarang perubahan alam sekitar atau radiasi. Sudah tujuh tahun Lynas beroperasi dan saya akui saya mungkin silap dalam tahun-tahun sebelumnya,” kata beliau.

Andansura berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Perdana dan Solat Hajat anjuran Lynas dengan kerjasama Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di masjid itu semalam, yang dihadiri ribuan jemaah.

Beliau juga mengakui penentangannya sebelum ini berdasarkan ‘rujukan’ sejarah di Bukit Merah, Perak dan kemalangan nuklear di Fukushima, Jepun dan sudah pasti sebagai adun di kawasan Lynas beroperasi, tidak mahu kejadian serupa berlaku di situ.

“Tapi kerajaan meneruskan juga pembangunan kilang itu dan selepas bertahun-tahun, tiada sebarang kesan berlaku. Saya berpandangan kita telah membuat persepsi yang salah sebelum ini kerana operasi Lynas berbeza daripada Bukit Merah dan Fukushima. Lynas juga dikawal ketat pihak berwajib.

“Saya berharap mereka yang menentang untuk sama-sama buangkan ego atau kepentingan politik kerana Lynas sama seperti kilang lain di Gebeng. Sudah tiba masanya untuk kita maju ke depan kerana sains sudah menunjukkan bukti,” katanya.

Sebagai contoh lain, Andansura berkata pada awal rancangan penubuhan Lynas, terdapat pihak yang mengatakan kewujudan kilang itu akan menyebabkan nilai hartanah di situ merundum ekoran ‘orang ramai bimbang terkena radiasi jika menetap di situ’.

Namun apa yang berlaku, menurut beliau adalah nilai rumah di situ semakin meningkat ekoran pembangunan di kawasan perindustrian Gebeng selain lebih banyak projek perumahan mula bertapak di sekitar kawasan itu kerana permintaan tinggi.

Andansura berkata beliau difahamkan Lynas mengalu-alukan mereka yang mahu berbincang tentang operasi mereka dengan profesional dan matang berserta fakta, yang beliau sendiri bersedia menjadi orang tengah dalam hal tersebut.

“Perkara seperti Lynas memerlukan pandangan pakar, bukan merujuk mereka yang menimbulkan persepsi. Apa yang diceritakan awal dahulu, tidak benar dan tidak salah untuk kita akui kesilapan kerana semasa itu kita tidak mendapat maklumat yang betul,” katanya. – Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...