Connect with us

Terkini

Dr M saksikan tayangan dokumentari ‘M for Malaysia’

Selepas menghadiri majlis di Kedah pada sebelah siang, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini meluangkan masa menonton tayangan perdana filem dokumentari ‘M for Malaysia’.

Dr Mahathir yang ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, tiba di GSC Cinema, Pavilion kira-kira 8.30 malam.

Beliau menyifatkan filem itu sebagai kisah benar perjalanan pembentukan Malaysia Baharu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional.

“Saya fikir filem ini adalah kisah benar yang bukan menceritakan tentang sebelah pihak sahaja. Ia menjadi pengajaran buat semua pihak dan pentingnya untuk menerima kritikan,” katanya selepas menyaksikan tayangan perdana filem itu.

Advertisement

Ditanya mengenai cabaran pada PRU15, Dr Mahathir berkata pengajaran daripada PRU14 perlu diambil semua pihak bagi memastikan kerajaan PH mengekalkan tampuk pemerintahan.

“Anda tahu, isu utama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Pada PRU15, ia tidak akan ada rekod (yang berlaku) dalam tempoh ini. Jadi orang akan mahu menilai pencapaian PH, dan ia bukanlah perkara mudah,” katanya.

Dokumentari berdurasi 90 minit arahan dan terbitan Dian Lee serta Ineza Roussille mengisahkan tentang penubuhan Malaysia Baharu oleh kerajaan PH selepas kemenangan pada PRU14, Mei tahun lepas.

Dokumentari itu merupakan rakaman istimewa pasca PRU14 yang menyaksikan penyatuan seluruh rakyat memilih masa depan baharu buat Malaysia.

Ia mengembalikan ingatan rakyat terhadap cerita mengenai harapan, perpaduan dan perdamaian warganegara untuk Malaysia yang menyaksikan Dr Mahathir kembali memegang jawatan sebagai perdana menteri buat kali kedua selepas menewaskan kerajaan yang memerintah Malaysia sejak kemerdekaan selama 61 tahun.

Advertisement

Dokumentari dengan lagu runut nyanyian Yuna bertajuk ‘Bermula Kita’ akan ditayangkan secara eksklusif di 37 pawagam terpilih di seluruh negara selama empat hari bermula 12 Sept 2019.

Terdahulu ketika ucapan pelancaran, Penerbit Eksekutif Datin Paduka Marina Tun Mahathir berkongsi tentang idea penghasilan filem dokumentari itu.

“Pada mulanya, Dian dan saya membuat keputusan untuk merakamkan kempen PRU14 tanpa mengira sama ada Pakatan menang atau tidak, hanya kerana kami berpendapat pertembungan antara si kerdil dengan sang gergasi ini sangat berharga untuk didokumentasikan.

“Seminggu lepas 9 Mei, kami dapati kami mempunyai rakaman filem yang sangat luar biasa, selama 90 jam, dan ia seharusnya dikongsi bersama dunia, dan dari situ, segala-galanya mula mengambil tempat, seperti apa yang akan anda saksikan hari ini,” kata anak sulung Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.

Marina pada masa sama mengalu-alukan sokongan daripada rakyat Malaysia terhadap industri filem tempatan khususnya filem berkisar tentang sejarah dan pembangunan negara.

Advertisement

“Saya harap anda gembira menontonnya, dan sila beritahu sahabat handai dan kaum keluarga anda untuk turut sama menonton. Ayuh kita bersama-sama melakar sejarah dalam pembikinan filem di Malaysia,” katanya dengan disambut tepukan gemuruh. – Bernama

Loading…

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel