Connect with us

Mahkamah

Gaji sebulan Ku Nan hampir RM40,000 – Saksi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menerima gaji dan elaun berjumlah RM39,227.20 setiap bulan bermula dari 2013 hingga 2018.

Setiausaha Bahagian (Perlembagaan dan Urusan Parlimen), Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Daman Huri Nor, 55, mengesahkan perkara itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Loading…

“Datuk Seri Tengku Adnan menerima gaji RM14,907.20 dan elaun RM24,320 setiap bulan pada 2013 hingga 2018 ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan,” katanya pada hari pertama perbicaraan kes Tengku Adnan yang didakwa menerima rasuah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon.

Disoal Julia siapa yang membayar gaji berkenaan kepada Tengku Adnan, saksi itu berkata: Kerajaan Malaysia.Iklan

Advertisement

Saksi pendakwaan pertama itu turut mengecam dan mengesahkan Surat Cara Pelantikan Menteri Persekutuan bertarikh 16 Mei 2013 yang dikemukakan kepadanya oleh Julia.

Menurut Daman Huri, dokumen tersebut (Surat Cara Pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan) adalah watikah pelantikan Tengku Adnan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

“Saya juga sahkan bahawa Perakuan Tentang Kedudukan atau Jawatan yang dipegang oleh Tengku Adnan bertarikh 24 Sept 2018 disediakan oleh saya.

“Saya juga sahkan selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 menunjukkan Barisan Nasional tewas dan Tengku Adnan tidak lagi menjadi Menteri Wilayah Persekutuan,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhamad Akmaludin Abdullah, 36, mengesahkan syarikat Nipponkey Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 29 Jun 2006 masih wujud sehingga kini.

Advertisement

Saksi pendakwaan kedua itu berkata syarikat itu terletak di Century Garden, Johor Bharu dan jenis perniagaan yang didaftarkan adalah ‘Property Holding’.

Muhamad Akmaludin, yang bertugas di Bahagian Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan turut mengesahkan bahawa Tan adalah pengarah bagi syarikat itu dan tarikh lantikan adalah pada 18 Okt 2009.

Saksi itu turut mengesahkan bahawa selain Tan, turut dilantik sebagai pengarah ialah Edwin Tan Pei Seng dan Zubaidah Azman turut dilantik sebagai setiausaha syarikat.

Muhamad Akmaludin juga mengesahkan bahawa syarikat Paragon City Development Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 20 Sept 1995 masih wujud sehingga kini dan terletak di Jalan Semarak dekat Kuala Lumpur.

“Jenis perniagaan yang didaftarkan adalah ‘Property Development’ dan Datuk Tan Eng Boon merupakan pengarah syarikat yang dilantik pada 29 Sept 1995. Turut dilantik sebagai pengarah ialah Edwin Tan Pei Seng dan Godwin Tan Pei Poh manakala Zubaidah Azman dilantik sebagai Setiausaha,” katanya ketika membaca penyataan saksinya ketika pemeriksaan utama oleh Julia.

Advertisement

Sementara itu, Muhamad Akmaludin mengesahkan syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd, yang terletak di Century Garden, Johor Bharu dan ditubuhkan pada 19 Dis 1990, masih wujud sehingga kini serta jenis perniagaan yang didaftarkan adalah Pemaju Hartanah dan Syarikat Pelaburan Harta.

Muhamad Akmaludin mengesahkan bahawa Tan dilantik sebagai pengarah syarikat itu pada 19 Dis 1990 dan beberapa individu lain yang turut dilantik sebagai pengarah ialah Edwin Tan Pei Seng, M Sani Md Taib dan See Choon Gek manakala Zubaidah Azman dilantik sebagai setiausaha syarikat.

Pada 15 Nov lepas, Tengku Adnan, 69, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013.

Advertisement

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa telah menerima wang berjumlah RM1 juta yang merupakan barangan berharga daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel