Connect with us

Pilihan Editor

Malaysia timbang tawaran MIG baharu Rusia

Malaysia amat berhati-hati untuk berbelanja terlalu banyak wang untuk menggantikan jet pejuang Rusia SU dan MiG dengan versi baharu, tetapi sentiasa melihat kemungkinan mendapatkan pesawat baharu dari negara itu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami mendapati ia (jet yang kini digunakan di Malaysia) sudah terlalu lama dan mungkin prestasinya tidak sebaik dengan versi baharu.

Loading…

“Bagaimanapun, wang adalah suatu yang kita gusarkan. Menggunakan terlalu banyak wang untuk jet pejuang mahal amat tidak produktif bagi kami.

“Kami tidak mahu berperang dengan sesiapa,” kata Perdana Menteri ketika ditanya agensi berita Sputnik mengenai hasrat untuk menggantikan jet Rusia yang lama dengan jet Su-35 atau Su-57.

Advertisement

“Ini adalah ‘permainan’ yang mahal,” katanya merujuk kepada model terbaru berkenaan.

Bagaimanapun, Malaysia perlu memastikan tahap teknologi pasukan pertahanannya sentiasa dalam keadaan terbaik dan terkini, katanya.

“Kita akan melihat kemungkinan mengkaji mengenai mendapatkan pesawat baharu daripada Rusia dan jet yang lain,” katanya.

Mengulas isu sama, Dr Mahathir berkata Malaysia mengkaji tawaran Rusia untuk mengambil semula jet pejuang MiG yang lama dan menggantikannya dengan MiG-35, tetapi semuanya membabitkan persoalan wang kerana negara tidak memperuntukkan banyak dana untuk pertahanan.

Dr Mahathir juga berkata Malaysia juga terpaksa menimbang dengan serius tawaran menyerahkan kembali jet lama kerana terlalu sukar menjual semula pesawat itu.

Advertisement

Tawaran itu boleh memberi manfaat kerana negara mahu memastikan pasukan pertahanan berada di tahap tertinggi tanpa perlu banyak berbelanja.

“Kami sebenarnya mengkaji tawaran mereka mengenai mengambil semula MiG lama dan membekalkan kepada kami dengan versi baharu, saya rasa MiG-35.

“Bagaimanapun, sudah tentu kita masih perlu membayar sejumlah besar wang. Dan Malaysia bukan sebuah negara yang membelanjakan banyak wang untuk pertahanan.

“Hanya dua peratus daripada bajet diperuntukkan untuk pertahanan. Kami membelanjakan 25 peratus daripada bajet untuk pendidikan,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri Malaysia itu kini berada di bandar Vladivostok, Rusia untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur yang akan berlangsung sehingga Jumaat. – Bernama

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel