Noor Nabila mahu cerai, Shaarnaz enggan lepaskan

0
22
Sharnaaz dan Noor Nabila hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh Astro Awani

Pelakon popular, Sharnaaz Ahmad dan isterinya, Noor Nabila diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian mereka.

Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail memerintahkan Sharnaaz atau nama sebenarya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 34, dan Noor Nabila Mohd Noor, 34, berbuat demikian selepas pelakon itu tidak bersetuju dengan tuntutan cerai isterinya.

Noor Nabila selaku plaintif memfailkan permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 pada 27 Ogos lepas.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Terdahulu, Sharnaaz yang diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader ketika ditanya hakim adakah beliau sudah melihat tuntutan yang diserahkan Noor Nabila pada 29 Ogos lepas, menjawab “ya”.

Ditanya hakim lagi adakah beliau setuju dengan tuntutan yang dikemukakan isterinya, pelakon itu menjawab “tidak setuju”.

Noor Nabila dalam tuntutan perceraiannya mengemukakan alasan antaranya tiada persefahaman dan mereka tinggal berasingan sejak Februari 2018 serta Sharnaaz memberi nafkah zahir yang tidak mencukupi iaitu hanya RM500 sebulan walaupun mampu untuk memberi lebih daripada itu.

Wanita itu yang berpakaian serba hitam dalam tuntutannya juga berkata langkah-langkah telah diambil untuk mencapai pendamaian termasuk perbincangan namun gagal menemui jalan penyelesaian.

Katanya Sharnaaz selaku defendan berterusan dengan sikapnya serta terdapat perbincangan melalui keluarga bagaimanapun ianya juga tidak berjaya.

Peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Noor Nabila kemudian memohon supaya pihak defendan mengemukakan alasan (tidak bersetuju) kerana dalam media sosialnya defendan menyatakan sebaliknya.

Bagaimanapun Ahmad Muttaqi berkata defendan tidak perlu berbuat demikian kerana mahkamah sudah bertanyakan hal itu kepada Sharnaaz dan mahkamah menetapkan 30 September untuk kedua-dua pihak melantik wakil JKP mereka. 

Sharnaaz dan Noor Nabila yang merupakan kakak kepada pengacara dan pelakon Neelofa itu mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak, Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia setahun.  — Bernama


Loading…

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...