Connect with us

Mahkamah

‘Pertemuan sulit berlangsung antara Najib dan Jho Low’

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu terdapat kemungkinan berlangsung pertemuan sulit antara bekas perdana menteri Najib Razak dan Low Taek Jho, ahli perniagaan dalam buruan, yang juga dikenali sebagai Jho Low.

Amhari Efendi Nazaruddin, 43, bekas pegawai khas Najib, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, pada hari keenam perbicaraan kes 1MDB yang dihadapi Najib.

Beliau berkata ketuanya pada ketika itu, Azlin Alias adalah orang yang menghadiri pertemuan itu, tetapi selepas beliau meninggal dunia pada 2015, saksi mula menghadiri pertemuan berkenaan.Iklan

“Selalunya, Jho Low akan cakap sesuatu dan apabila kami (Azlin) periksa semula dengan Najib, ia sama dengan apa yang Jho Low katakan sebelum itu,” katanya.

Advertisement

Muhammad Shafee: Adakah kamu hadir ketika Najib cakap perkara sulit dengan Jho Low?

Amhari Efendi: Tidak, saya tak tahu siapa lagi yang hadir mungkin mereka berdua sahaja.

Ditanya tentang pertemuan lain di Abu Dhabi, saksi itu berkata Najib meminta beliau untuk pergi ke Abu Dhabi dan memastikan supaya kedua-dua negara tidak diletakkan di bawah timbang tara.

Pertemuan itu bertujuan untuk mengadakan perbincangan sulit untuk menyelesaikan pertikaian bon 1MDB dengan International Petroleum Investment Co (IPIC), tanpa membawa kes itu ke Mahkamah Antarabangsa.

“Saya bertanyakan arahan selanjutnya dan Najib berkata ‘tanya Jho Low’,” kata saksi itu, dan menambah, arahan supaya beliau pergi ke Abu Dhabi datang terus daripada Najib.

Advertisement

Amhari Efendi berkata semasa Azlin masih hidup, Azlin akan mendapatkan pengesahan dalam perkara berkaitan 1MDB daripada Najib.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan bahawa Jho Low tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam 1MDB.

Semasa diminta menjelaskan bagaimana saksi itu tahu bahawa Jho Low rapat dengan isteri tertuduh, Rosmah Mansor, Amhari Efendi berkata beberapa kali semasa pertemuannya dengan Azlin dan Jho Low di Prince Hotel, beliau dapat mendengar Rosmah bercakap dengan Jho Low menerusi telefon.

“Saya juga bertemu Rosmah dan beliau juga bercakap tentang Jho Low. Jho Low turut diundang untuk menghadiri beberapa majlis tertutup di kediaman peribadi Najib di No 11, Jalan Langgak Duta,” katanya.

Muhammad Shafee: Berapa ramai orang yang menghadiri majlis itu?

Advertisement

Amhari Efendi: Kira-kira 100 orang, kadang-kadang termasuk VVIP dan ahli politik.

Muhammad Shafee: Daripada situ kamu membuat kesimpulan bahawa mereka rapat?

Amhari Efendi: Ya.

Muhammad Shafee: Adakah kamu tahu butiran perbualan mereka?

Amhari Efendi: Tidak, tapi saya dapat mendengar suara (Rosmah) kerana ia kuat. Pada ketika ini, Jho Low akan berkata Datin Seri Rosmah telefon dan meminta kami semua diam.

Advertisement

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung. – Bernama

Loading…

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel