Friday, December 05, 2025

27 tahun peluk Islam, Mr Universe sambut Deepavali mohon restu ibu

October 26, 2019
1 min read
Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dalam satu pertemuan bersama Syed Saddiq Syed Abdul tahun lalu. — Foto ihsan Instagram/SyedSaddiq

“Restu ibu masih perlu, walaupun berlainan agama,” kata jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang akan menyambut perayaan Deepavali bersama ibunya, S.Neelavathi, esok.

Anak jati Kuala Lumpur berusia 46 tahun yang mesra dengan panggilan Mike itu mula memeluk Islam sejak berusia 19 tahun, namun tidak pernah terlepas meraikan perayaan agama Hindu itu sehingga sekarang.


Loading…

“Keluarga saya terima saya seadanya. Masa saya mula-mula masuk Islam, ibu saya terima saya dengan agama baharu. Hanya tanya ‘kenapa’? Saya beri jawapan yang meyakinkan kepada ibu dan ahli keluarga lain. Mereka terima, jadi kenapa saya perlu ‘buang’ mereka walaupun berlainan agama sekarang.

“Seronok jadi saya, kerana masih meraikan Deepavali dan dalam masa sama, turut menyambut Aidilfitri dan Aidiladha. Keluarga saya juga turut serta dalam perayaan saya,” kata Mr Universe tiga kali berturut-turut itu kepada Bernama.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata beliau akan melawat ibunya di Taman Suria Jaya, Cheras selepas latihan harian dan seterusnya ke rumah saudara-mara lain di Sungai Buloh.

Perayaan Deepavali pastinya akan diserikan dengan juadah tradisional yang menyelerakan lebih-lebih lagi apabila ia adalah masakan ibu, bagaimanapun Mike terpaksa ‘berpuasa’ daripada menjamah makanan istimewa itu kerana sedang dalam diet ketat.

Beliau mengamalkan diet ketat tanpa gula, minyak dan rendah kalori sejak Mei lalu demi mengejar gelaran juara dunia buat kali keempat berturut-turut di Kejohanan Dunia di Korea Selatan, bulan depan.

Mike yang juga pemegang gelaran Mr Asia lima kali bersyukur dilahirkan sebagai rakyat Malaysia dan menganggap tiada negara sebaik Malaysia.

“Jauh perjalanan, luas pemandangan. Selagi kita tidak melawat negara orang, kita tidak akan hargai negara sendiri, pasti ada benda tidak kena. Bagi saya selepas pergi ke beberapa negara ketika menyertai kejohanan, tiada negara yang harmoni seperti Malaysia.

“Malaysia ada banyak bangsa, agama tapi kita boleh menerima antara satu sama lain. Kita boleh meraikan perayaan agama dan bangsa lain. Tiada sengketa cuma saya kecewa sedikit dengan isu-isu rasis yang ada sekarang. Perkara seperti itu tidak sepatutnya timbul,” katanya.

Mike berharap silaturahim antara kaum dapat dieratkan terutama ketika musim perayaan ini dan meminta seluruh rakyat Malaysia sentiasa hormat-menghormati agar perpaduan dapat dikekalkan. — Bernama

HANGAT MINGGU INI

PM Bazirkan Peluang Tidak Pilih Azalina Dan Asyraf Wajdi – Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) telah menyifatkan

Syed Saddiq Sambung Belajar Ke S’pura, ‘Derma’ Gaji Bulan Mac Kepada Rakyat Muar

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar memaklumkan akan