Connect with us

Mahkamah

Rasuah Isa Samad: Felda salur dana RM653 juta kepada FICSB

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Felda telah menyalurkan dana kepada anak syarikatnya iaitu Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) berjumlah RM653 juta antaranya untuk tujuan pelaburan serta perniagaan.

Pengarah Unit Transformasi Felda, Mohd Shahrin Mohd Ali, 50, berkata pembayaran dana itu ialah RM499.5 juta pada 27 Mei 2014; RM51,208,139.71 (23 Sept 2014); RM100 juta (29 Mei 2015); RM 1 juta (21 Okt 2015) dan RM1.88 juta pada 28 Okt 2015.

Loading…

Beliau berkata pembayaran dana RM499.5 juta merupakan pendahuluan (advance) yang diberikan kepada FICSB melalui pinjaman yang Felda perolehi daripada Maybank Islamic Berhad.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika membaca penyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada perbicaraan hari pertama kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Advertisement

Beliau berkata dana RM51,208,139.71 adalah untuk modal berbayar kepada FICSB daripada dana dalaman wang Felda.

“Modal berbayar ini adalah satu jumlah suntikan modal yang boleh diguna pakai oleh FICSB untuk keperluan operasi perniagaannya. Modal berbayar yang diberikan kepada FICSB adalah dianggap sebagai pelaburan yang akan memberi pulangan dividen jika syarikat tersebut mendapat keuntungan,” katanya.

Mohd Shahrin yang pernah bertugas sebagai Pengarah Kewangan Felda sehingga Mac 2019 berkata dana berjumlah RM100 juta merupakan bayaran pendahuluan kepada FICSB bagi membiayai pembelian Merdeka Palace Hotel & Suite (MPHS) di Kuching, Sarawak.

“Dana ini merupakan pendahuluan (advance) yang diberikan kepada FICSB melalui pinjaman yang Felda perolehi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Saksi itu turut mengesahkan dana yang diberikan oleh Felda kepada FICSB sebanyak RM1 juta telah disalurkan kepada anak syarikat itu sebagai pinjaman yang perlu dibayar balik oleh FICSB kepada Felda.

Advertisement

“Saya juga sahkan dana berjumlah RM1.88 juta yang disalurkan kepada FICSB sebagai pinjaman yang perlu dibayar balik anak syarikat itu kepada Felda,” katanya.

Pada 14 Dis 2018, Mohd Isa, 70, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah, dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel