Connect with us

Kemalangan

Terkejut disergah Polis saat tengah asmara, kereta pelajar terbabas masuk longkang

Dua pelajar sebuah pusat latihan kemahiran yang juga pasangan kekasih ditahan kerana melarikan diri daripada pemeriksaan polis sehingga melanggar sebuah motosikal sebelum kereta dinaiki mereka terbabas dan terhumban ke dalam longkang dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLLB), di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, lelaki berumur 19 tahun memandu kereta jenis Perodua Bezza berkenaan sedang berdua-duaan dengan kekasihnya berumur 25 tahun di dalam kenderaan yang diletakkan di laluan kecemasan lebuh raya tersebut.

Loading…

“Kereta polis unit rondaan (MPV) yang sedang meronda di kawasan itu berhenti di belakang kenderaan mereka sebelum seorang anggota polis turun dan mengetuk cermin Proton Bezza tersebut untuk membuat pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki yang berada di bahagian tempat duduk pemandu terkejut dengan kehadiran anggota polis itu dan terus bertindak melarikan diri dengan memecut laju keretanya sebelum MPV polis mengejar kenderaan tersebut.

Advertisement

Menurutnya, pemandu Perodua Bezza itu terus memecut dan enggan menghentikan kenderaannya walaupun telah diarahkan untuk berhenti oleh polis sehingga kereta tersebut melanggar palang tol di Plaza Tol Bagan Ajam menghala Sungai Dua.

Noorzainy berkata lelaki itu terus memandu laju dan ketika sampai di Kilometer 11.1 LLLB, kereta tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang seorang lelaki yang berada di laluan sama.

“Kedua-dua kenderaan itu terhumban ke dalam longkang besar di tepi lebuh raya tersebut sebelum mereka diselamatkan oleh polis MPV dan pengguna jalan raya. Penunggang motosikal berusia 28 tahun itu mengalami patah kedua-dua kaki dan dirawat di Hospital Seberang Jaya manakala pasangan kekasih itu tidak mengalami kecederaan dan ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah,” katanya.

Beliau berkata pasangan kekasih yang menuntut di pusat latihan kemahiran di Kedah itu kemudiannya ditahan untuk siasatan menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata polis menahan lima remaja lelaki berumur antara 13 dan 18 tahun kerana berlumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya dalam Op Samseng di LLLB awal pagi, hari ini.

Advertisement

Menurutnya dalam operasi bermula pukul 1 pagi itu, polis melakukan pemantauan serta penyamaran di kawasan itu sejak beberapa hari lepas sebelum berjaya mengekori lima remaja tersebut berlumba haram sebelum menahan mereka di hentian Rehat dan Rawat Bagan Ajam.

“Mereka menunggang motosikal secara melulu dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain dengan menduga kelajuan sambil melakukan aksi membongkokkan badan, menundukkan kepala serta aksi zigzag dari Plaza Tol Bagan Ajam menghala ke lampu isyarat Pelabuhan Kontena Butterworth Utara dan kemudian berpatah balik ke arah plaza tol menghala ke Sungai Dua,” katanya.

Beliau berkata empat remaja berusia 13 hingga 16 tahun itu sudah tidak bersekolah manakala seorang lagi rakan mereka merupakan pekerja sebuah restoran dan kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut. — Bernama  

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel