Ali Hamsa kata cemar imej Najib sama macam burukkan nama negara – Ambrin

0
2307
Najib Razak - Foto Reuters

Ambrin Buang memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam bahawa beliau dimaklumkan oleh ketua setiausaha negara ketika itu, Dr Ali Hamsa, semasa mesyuarat membincangkan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bahawa mencemarkan imej Najib Razak sama seperti memburukkan nama negara.


Loading…

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ali itu dihadiri antaranya bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan Ambrin serta wakil daripada beberapa agensi kerajaan.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata semasa mesyuarat berkenaan mereka yang hadir bimbang nama negara terjejas jika laporan tersebut mencemarkan reputasi Najib.

Terdahulu, ketua pasukan pendakwaan Gopal Sri Ram membacakan salah satu perenggan transkrip rakaman audio mesyuarat itu: “Setiap jabatan mesti menguruskan la. Kerana kita bermesyuarat di sini pada dasarnya untuk kita, kepentingan negara dan menjaga pucuk pimpinan kita “.

Sri Ram: Ali merujuk kepada siapa? Dan apa yang ingin beliau sampaikan kepada kamu?

Ambrin: Ali, sebagai penjawat awam tertinggi negara, bercakap bagi pihak kerajaan dan mempertahankan Najib. Ali berkata beliau mahu menjaga pucuk pimpinan kita … yang bermaksud pucuk pimpinan kerajaan di bawah Najib.

Semasa ditanya oleh Sri Ram sama ada beliau bimbang terhadap reputasi Najib, Ambrin berkata beliau hanya mengambil berat tentang laporannya yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta mempertahankan kandungannya dalam mesyuarat itu.

Pada satu ketika, saksi juga menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai agenda politik di sebalik laporan 1MDB yang disediakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) pada 2016.

Ambrin juga mengatakan niatnya jelas apabila bersetuju dengan pindaan kepada laporan audit 1MDB walaupun ditekan.

Ketika peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanya mengapa beliau tidak membuat laporan polis mengenai dua penyata kewangan 1MDB yang berbeza, saksi itu berkata ia tidak terlintas di fikirannya pada masa itu.

Najib, 66, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 9 Jan 2020.

– Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...