Makin kacak lepas kurus, guru hargai penat lelah isteri masak menu diet

0
11

Terlalu banyak kekangan apabila memiliki berat badan berlebihan, demikian kata seorang guru yang mana kisah transformasinya cukup menarik perhatian ramai.

Norazman Md Noh, memiliki berat sekitar 130 kilogram (kg) sebelum dia memulakan diet dan hilang lebih 65kg dalam tempoh tiga tahun.


Loading…

Disebalik kejayaan itu, lelaki berusia 42 tahun itu turut mengimbas insiden-insiden lampau yang menjadi pendorong serta memberi inspirasi agar terus cekal dalam mendapatkan berat badan ideal.

Mesra disapa Norazman, dia mengakui kejadian diserang tekanan darah tinggi melampau sewaktu bertugas di Sabah suatu ketika dahulu menjadi titik permulaan kepada gaya hidup yang lebih sihat pada hari ini.

“Sewaktu dalam perjalanan menaiki ambulans ke hospital, terlintas di fikiran mengenai anak dan isteri. Ia menjadi turning point kepada saya.

“Bila berat badan berlebihan, banyak kekangannya. Susah cari baju, tak boleh beli yang dah siap, kena custome made. Nak buat baju korporat di sekolah, saya kena bayar lebih untuk tambah kain.

“Selain sukar nak duduk untuk solat, nak masuk tandas pun susah. Bila nak buang air, tangan tak sampai nak cuci.

“Pergi taman tema, tengok orang naik je, saya hanya boleh tengok dari jauh,” ujarnya sewaktu dihubungi mStar.

Selain itu, Norazman juga beberapa kali berhadapan insiden kerusi patah yang mana pengalaman itu disifatkannya sebagai memalukan.

“Saya pernah tiga atau empat kali, patah kerusi di kedai makan dan dewan makan asrama. Memalukan sebab berkali-kali jadi. Sampai tahap kena letak kerusi double untuk keselamatan.

Namun kata guru Pendidikan Islam itu, dia bersyukur kerana tidak pernah berhadapan isu body shaming sebelum ini.

Bercerita mengenai perjalanan dietnya, bapa kepada seorang cahaya mata ini mengakui sudah mencuba bermacam cara sejak sekian lama.

“Pergi gim, cuba herba sampai cirit birit tiga empat hari. Tak makan nasi, joging. Cuba macam-macam produk, jus dan pil, semua tak berjaya.

“Tapi semuanya berubah bila jumpa orang yang boleh bimbing. Kali ketiga baru ada bimbingan iaitu seorang cikgu yang pernah turun 40kg sebelum ini.

“Dia ajar saya cara pemakanan yang betul, masa berat saya 99kg saya baru start buat senaman. Sebelum tu tak boleh sebab ada masalah lutut,” ujarnya.

Selain rakan pembimbing, isterinya iaitu Khairulasma Shapiai turut menjadi tulang belakang dalam misinya untuk menguruskan badan.

Ujar Norazman, dia menghargai usaha isterinya yang banyak memberi sokongan sehingga hasratnya menjadi realiti.

“Pada mulanya isteri saya tak sokong. Dia takut saya beria sahaja, sebab tu dia malas layan. Tapi bila berlaku sedikit penurunan berat, dia nampak kesungguhan saya.

“Dia banyak tolong, kami masak hidangan sihat sama-sama. Saya sekarang ni tak adalah berat ideal, masih lagi perlu kurangkan berat. Ia usaha yang berterusan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, foto transformasi Norazman turut menjadi tular dan dikongsi meluas menerusi Facebook.

Malah, ramai yang memuji transformasi itu dan serta memperkatakan paras rupa Norazman yang semakin kacak selepas berjaya menurunkan berat badan.

“Terus jadi kacak. Terbaiklah. Tahniah isteri. Moga cikgu ingat jasa dan pengorbanan isteri.

“Makin kacak dan awet muda bila makan sihat. Tahniah cikgu.

“Gigih isteri menyokong demi menurunkan berat badan suami. Terus nampak kacak,” tulis beberapa netizen.

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...