Seoul sambut Dr Mahathir dengan ‘Standing in the Eyes of the World’

0
1090
SEOUL -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memeriksa barisan kawalan kehormat sebaik tiba di Pangkalan Udara Seoul sempena Lawatan Rasmi dua hari ke Korea Selatan hari ini. --foto BERNAMA

Seoul memberi sambutan rasmi kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tiba di Pangkalan Udara Seoul hari ini dengan lagu popular ‘Standing In The Eyes of The World’.

Lagu berkenaan, yang sinonim dengan perdana menteri Malaysia itu selepas Sukan Komanwel 1998, dipersembahkan oleh pasukan pancaragam dan kumpulan persembahan Tentera Korea Selatan.


Loading…

Pesawat khas membawa Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mendarat di pangkalan udara berkenaan pada 1.30 tengah hari Rabu waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia).

Hadir untuk menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Kesihatan dan Kebajikan Korea, Park Neung-hoo; Duta Korea Selatan di Malaysia, Lee Chi-beom; dan Jeneral Hal Ehwal Protokol Komander Bae Soon-wook daripada 15th Special Missions Wing.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar; Duta Malaysia di Korea Datuk Mohd Ashri Muda, dan Atase Pertahanan Malaysia di Seoul, Kolonel Mohd Sobirin Mohd Yusof.

Sejurus selepas ketibaan, Dr Mahathir memeriksa kawalan kehormatan selepas lagu kebangsaan Malaysia dan Korea Selatan diperdengarkan.

Ini lawatan rasmi pertama beliau ke Korea Selatan sejak menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada Mei 2018.

Semasa lawatan itu, Dr Mahathir akan mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dua hala dengan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in.

Ia merupakan susulan kepada perbincangan kedua-dua pemimpin itu di Kuala Lumpur semasa lawatan negara Moon ke Malaysia dari 12 hingga 14 Mac, 2019.

Esok kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan majlis memeterai empat Memorandum Persefahaman (MOU) — dalam teknologi maklumat dan komunikasi; kerajaan digital; penjagaan kesihatan & sains perubatan serta pengurusan air dan & pembetungan.

Selain menghadiri program rasmi, perdana menteri juga dijadual mengambil bahagian dalam mesyuarat perniagaan meja bulat bersama peneraju industri Korea Selatan dan menerima kunjungan hormat daripada presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Daewoo Engineering and Construction Co. Ltd.

Dr Mahathir akan turut mengambil peluang bertemu dengan diaspora Malaysia di Seoul.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah dijangka kembali ke Malaysia pada Khamis (28 Nov). – Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...