Syed Saddiq: Cengkaman Papagomo sebabkan soft tissue injury

0
19
Foto oleh Straits Times

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa pengendali laman blog, Papagomo telah mencengkam bahu dan leher kiri beliau yang menyebabkan ‘soft tissue injury’ sebelum mengatakan perkataan ‘kau bodoh’ di telinganya.

Menceritakan kembali insiden pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Februari lalu Syed Saddiq, 26, berkata, beliau dan tiga lagi pegawainya, Mohd Aizad Roslan, 38; Pemangku Sjn Mohd Amin Bacho, 41, dan Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, 29, sedang berjalan ke arah keretanya sendiri yang di parkir di luar kawasan dewan penamaan calon diadakan.


Loading…

“Pada jam 11 pagi itu, jalan yang dilalui kami telah dibuka sekatan oleh pihak polis kerana sesi penamaan calon telah selesai. Di seberang sepanjang jalan itu ada sekumpulan penyokong parti politik pihak lawan kira-kira 50 ke 100 orang dan mereka mula berulang-ulang mengeluarkan kata-kata kesat seperti “babi, “bangsat” dan “hancing” terhadap kami.

“Kami terus berjalan tetapi kemudian terdapat sekumpulan dari mereka yang mula merentasi jalan dan mengepung kami. Apabila dikepung kami rasa cemas, gusar dan takut kerana bilangan mereka lebih ramai berbanding kami,” katanya.

Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin pada hari kedua perbicaraan kes yang dihadapi Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 36, atas dua pertuduhan mengaibkan dan mendatangkan kecederaan terhadap menteri itu

Setelah melihat tindakan para penyokong pihak lawan, Syed Saddiq berkata pegawai keselamatannya yang juga saksi pendakwaan pertama, Mohd Amin Bacho termasuk anggota polis trafik dan juga beberapa sukarelawan unit amal dari salah satu parti lawan datang untuk melindunginya.

“Walaupun polis sudah ada di sebelah kiri, ada salah seorang dari mereka yang dikenali sebagai Papagomo datang berlari ke arah kami menggunakan jalan parit di sebelah kanan. Dia telah datang ke sebelah saya dan terus mencengkam bahu dan leher kiri saya.

“Saya terus berjalan ke hadapan dan dia cakap di telinga saya “kau bodoh” dan ada beberapa lagi perkataan yang saya tak dengar kerana keadaan ketika itu yang mencemaskan,” kata menteri itu.

Menurutnya lagi, tekanan daripada cengkaman selama tiga hingga lima saat di bahu dan lehernya itu telah menyebabkan kesakitan dan beliau merasakannya sejurus tiba di kediamannya.

“Tanpa membazirkan masa saya terus membuat laporan polis dan membuat pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan selepas diperiksa dan melakukan x-ray, doktor memaklumkan ada ‘soft tissue injury’. Berikutan itu saya diberikan suntikan tahan sakit (painkiller) di lengan dan dua jenis ubat untuk dimakan,” katanya.

Ketika ditanya Muhammad Hairuliqram sekiranya beliau mengenali Papagomo, Syed Saddiq menjawab ‘Ya’ dan membuat pengecaman di dalam mahkamah terhadap lelaki itu selaku Orang Kena Saman (OKS).

Terdahulu, Majistret Nor Afidah Idris turut memberi amaran agar pihak-pihak termasuk Papagomo sendiri, pihak peguam serta media tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang dapat mengelirukan orang awam dan mengganggu perbicaraan selepas membenarkan permohonan Muhammad Hairuliqram.

Muhammad Hairuliqram memohon supaya Papagomo yang diwakili peguam Nik Saiful Adli Burhan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial yang boleh mengelirukan orang awam seperti pada 4 Nov lepas, di mana pihaknya mengeluarkan kenyataan memohon untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Syed Saddiq.

Pada 28 Februari lalu Papagamo yang juga Exco Pemuda UMNO didakwa mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut ‘ko bodoh’ bagi maksud mengganggu kesantunannya di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian pada jam 11.05 pagi 16 Februari lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua OKS didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di leher dan bahu Ketua ARMADA itu pada masa, tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2, 000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris bersambung 28 Januari 2020. – Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...