Tolak pemecatan Zakaria, Azmin dan 18 ahli MPP lain mahu Anwar minta maaf

0
3226

Seramai 19 daripada 64 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR termasuk timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali menolak pemecatan bekas ketua cabang Bera, Zakaria Abdul Hamid.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, mereka berkata pemecatan itu “tidak sah” kerana tidak melalui proses sewajarnya.


Loading…

“Kami selaku Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang dipilih bagi sesi 2018-2021 dengan ini sebulat suara menolak pemecatan Zakaria sebagai ahli MPP PKR seperti diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin, Ahmad Kassim walaupun syor yang dikemukakan oleh Lembaga Disiplin sendiri hanyalah tunjuk sebab, bukan pemecatan.

“Perkara ini dicapai setelah kami meneliti dan mendapati keputusan memecat beliau adalah dengan alasan yang cacat dan tidak menepati prinsip keadilan iaitu tidak melalui proses sebagaimana harusnya,” kata kenyataan itu.

Selain Azmin, kenyataan itu ditandatangani oleh Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua, Ketua Wanita Haniza Mohamed Talha serta Timbalan Ketua Pemuda (AMK) Hilman Idham.

Secara keseluruhan MPP dianggota 64 anggota, dengan 30 daripadanya (termasuk dua jawatan tertinggi untuk sayap pemuda dan wanita) dipilih oleh anggota parti dalam pemilihan September tahun lalu.

Sejumlah 14 pengerusi PKR negeri, dua anggota majlis penasihat dan pengerusi lembaga disiplin PKR secara automatik menjadi anggota MPP, manakala bakinya dilantik.

Sembilan belas anggota MPP yang menandatangani kenyataan bersama itu dipilih melalui pemilihan lalu.

Konflik pemecatan Zakaria hadir ketika PKR dilihat sedang bergelut pergeseran dalaman melibatkan kem Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya, Azmin.

Dua hari lalu, PKR telah mengeluarkan sepucuk surat kepada Zakaria, memaklumkan mengenai pemecatannya daripada parti itu.

Tiba dari luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan disambut penyokongnya semalam, Zakaria berkata dia masih belum menerima surat pemecatan itu.

Sementara itu, kenyataan media 19 ahli MPP itu hari ini turut menyorot kekhilafan SPRM menghantar surat kepada Lembaga Disiplin PKR berhubung dakwaan ke atas Zakaria dan Ismail.

Mereka juga menggesa Anwar selaku presiden parti memohon maaf atas pemecatan Zakaria.

“Justeru, kami mewakili majoriti ahli MPP yang dipilih oleh anggota parti dengan ini menyatakan penolakan kami terhadap keputusan tergesa-gesa tersebut dan mendesak agar presiden parti memohon maaf atas keterlanjuran ini yang jelas tidak mendapat sokongan dua per tiga ahli MPP parti sendiri.

“Sehingga hari ini, Zakaria masih merupakan Ahli MPP PKR yang sah. Maka, makluman pemecatan yang tidak menyebut sebab pemecatan itu juga tidak relevan apatah lagi untuk merayunya,” kata kenyataan itu.

PKR melucutkan keanggotaan Zakaria dan seorang lagi ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi selepas mendapat surat daripada SPRM memaklumkan tentang siasatan atas dakwaan rasuah terhadap kedua-dua mereka.

Siasatan ke atas Zakaria adalah berdasarkan rakaman audio yang dikatakan mengandungi rakaman suaranya menawarkan kontrak semasa pemilihan PKR tahun lalu.

Zakaria bertanding dan memenangi jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dengan meraih undi kelapan paling banyak.

Bagaimanapun, Zakaria mendakwa dia tidak pernah dipanggil membela diri atas sebarang tuduhan sebelum dipecat.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini menegaskan bahawa kekhilafan SPRM dalam menghantar surat kepada parti hanya prosedur dan tidak mengubah fakta kes.

Ahli MPP lain yang disebutkan dalam kenyataan media menolak pemecatan Zakaria adalah:

Dr Daroyah Alwi
Amiruddin Shaari
Mohd Rashid Hasnon
Sivarasa Rasiah
Rahimah Majid
Elizabeth Wong
Saifuddin Abdullah
Radzlan Jalaluddin
Dr Mansor Othman
Kamaruddin Jaafar 
Azmizam Zaman Huri
Gan Pei Nei
Hee Loy Sian
R. Santhara Kumar

Malaysiakini

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...