Connect with us

Terkini

Dego Ride: ‘Dahulu diharamkan, sekarang beroperasi dengan peluang pekerjaan bagi 5000 anak muda’ – Syed Saddiq

Selepas hampir dua tahun diharamkan, perkhidmatan teksi motosikal pertama di Malaysia, Dego Ride kembali beroperasi hari ini dengan sasaran mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan, khususnya untuk belia dari golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Penunggang berdaftar dengan syarikat e-panggilan perkhidmatan pengangkutan menggunakan motosikal itu yang diharap dapat mengurangkan kesesakan trafik khususnya pada waktu puncak, ditawarkan gaji antara RM1,500 hingga RM3,500 sebulan, lapor BH Online.

Dego Ride menjadi bualan orang ramai sebaik memulakan perkhidmatan teksi motosikal pada November 2016 dengan kadar tambang serendah RM2.50, namun hanya terhad kepada perjalanan sejauh tiga kilometer di sekitar Lembah Klang.

Kewujudan perkhidmatan yang disifatkan sebagai ‘pengangkutan pengantara’ itu bagaimanapun diharamkan oleh kerajaan terdahulu dengan alasan boleh mendatangkan pelbagai risiko dan membahayakan pengguna serta menyalahi Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Advertisement

Pada Februari 2017, Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dilaporkan berkata Kabinet bersetuju dengan keputusan kementerian berkenaan untuk mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride susulan faktor keselamatan.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj pada sidang media hari ini, berkata hanya individu berusia 18 tahun ke atas, memiliki lesen B dan perlindungan insurans dibenarkan mendaftar sebagai penunggang sepenuh masa atau sambilan dengan syarikat berkenaan.

Syarat lain, katanya, pemohon perlu memiliki motosikal berkuasa 150cc ke atas yang tidak diubah suai dan dibenarkan beroperasi serta-merta di sekitar Lembah Klang, Shah Alam serta Putrajaya sekiranya permohonan mereka diluluskan.

“Setakat ini, kami sudah luluskan 700 daripada lebih 4,000 permohonan untuk menjadi penunggang Dego Ride termasuk 50 daripada 100 pemohon wanita.

“Penunggang lelaki hanya dibenarkan membawa penumpang sama jantina dan begitu juga sebaliknya. Perjalanan dihadkan sejauh 10 kilometer,” katanya yang ditemui pemberita selepas majlis perasmian pejabat urusan Dego Ride oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di sini.

Advertisement

Untuk penumpang, Nabil Feisal Beliau menegaskan, mereka akan dilindungi insurans disediakan Dego Ride sebagai jaminan keselamatan jika terbabit kemalangan.

“Kami menetapkan sasaran memperluaskan perkhidmatan ini ke negeri-negeri lain menjelang Mac depan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Perniagaan Dego Ride, Syed Muhammed Abu Bakar, menjelaskan tambang RM3 ditetapkan bagi kilometer pertama, diikuti tambahan RM1 bagi setiap kilometer seterusnya.

“Bagaimanapun, kadar tambang lebih tinggi bagi operasi di luar waktu puncak, namun perinciannya belum boleh didedahkan kepada umum.

“Kami juga menyasar memperluaskan perkhidmatan ini menggunakan kereta, tetapi fokus utama ketika ini adalah perkhidmatan teksi motosikal,” katanya.

Advertisement

Menerusi satu hantaran di laman sosial Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, beliau berkata dahulu Dego Ride diharamkan tapi kini telah meneruskan operasi mereka semula.

“Dahulu diharamkan, Sekarang beroperasi dengan peluang pekerjaan bagi ~5000 anak muda yang majoriti dari kumpulan B40 bermotosikal, dengan gaji RM1500-RM3500. Alhamdulillah.

“Tahniah Saudara Nabil, pengasas Degoride.

Syed Saddiq turut meletakkan harapan dan doa agar Dego berkembang besar seperti GoJek dan GRAB suatu hari nanti.

“I hope & pray that one day you’ll grow as big as GoJek & GRAB.

Advertisement

“Mulai 1 Januari, Bike-hailing dibenarkan! Tahniah Nabil & Keluarga Degoride. Moga Allah berkati usaha saudara.” Katanya lagi.

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel