‘Nah ambil sikit’ – Isa beri saya hingga RM50,000 – Zahid Md Arip

 5 total views,  2 views today

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memberi wang antara RM10,000 hingga RM50,000 kepada bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip selepas menerima wang daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.


Loading…

Muhammad Zahid berkata dia menerima wang daripada Ikhwan bagi pihak Mohd Isa, 71, dalam sembilan pertemuan antara Julai 2014 dan Disember 2015 di pelbagai lokasi.

“Sepanjang menerima wang itu, saya tidak pernah mengusik atau mengira wang yang diserahkan Ikhwan. Saya hanya tahu di dalam beg kertas dan beg hitam itu mengandungi wang.

“Kadang-kadang ada dua tiga kali selepas saya menyerahkan wang kepada Tan Sri Isa, beliau akan menelefon saya dan meminta datang ke biliknya. Selepas saya tiba di biliknya, beliau ada berkata, ‘Nah! Ambil sikit’, Tan Sri Isa beri saya wang kira-kira RM10,000 hingga RM20,000 dan ada ketikanya RM50,000 walaupun saya tidak pernah meminta apa-apa daripada beliau,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata demikian ketika membaca penyataan saksi pada hari ke-14 perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta yang dihadapi Mohd Isa, yang juga bekas Pengerusi Felda berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suits (MPHS) oleh FICSB di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Muhammad Zahid memberitahu mahkamah bahawa beliau mengenali Ikhwan pada September 2013 melalui rakannya, Pengarah JV Evolution Sdn Bhd (JVESB), Azizi Abd Wahab, 54 tahun.

“Azizi ada menghubungi saya untuk berjumpa dengan saya bersama kawannya (Ikhwan) di pejabat saya di Felda kerana Ikhwan mempunyai cadangan untuk menjual Merdeka Palace Hotel and Suites di Kuching.

“Saya memberitahu mereka bahawa saya akan mengemukakan cadangan kepada Tan Sri Isa mengenai penjualan hotel tersebut,” katanya.

Saksi itu memberitahu Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), Mohd Zaid Abdul Jalil memaklumkan kepada Ikwan bahawa Ahli Lembaga Pengarah FICSB telah memutuskan untuk tidak meneruskan pembelian hotel pada Mac 2014.

Bagaimanapun, Muhammad Zahid menambah bahawa Ikhwan memintanya untuk mengaturkan pertemuan dengan Mohd Isa berhubung perkara itu.

“Saya telah mengaturkan pertemuan mereka di pejabat Tan Sri Isa. Saya tidak ada bersama dalam pertemuan itu dan telah beredar dari pejabat untuk melaksanakan tugas saya seperti biasa,” katanya.

Pada bulan sama, saksi itu berkata Mohd Isa menerima panggilan telefon daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meminta Felda untuk membeli semula MPHS.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Mohd Isa, Datuk Salehuddin Saidin sama ada Muhammad Zahid, mengetahui punca wang yang diterimanya daripada Mohd Isa, saksi itu menjawab “tidak tahu”.

Salehuddin: Kamu tidak tahu punca duit itu dari mana?

Muhammad Zahid: Tan Sri Isa bagi, saya ambillah.

Mohd Isa menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April, 2014 dan 11 Dis, 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok.

Mahkamah juga akan membuat keputusan esok sama ada untuk membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bagi menambah butiran tarikh pada pertuduhan kes rasuah Mohd Isa.

– Bernama