Connect with us

Mahkamah

Audio ‘can I advise you something’ dimainkan di mahkamah

Rakaman audio perbualan ‘can I advise you something‘ dipercayai perbualan antara Rosmah Mansor dan suaminya, bekas perdana menteri Najib Razak yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, dimainkan pada perbicaraan kes rasuah Rosmah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Rakaman berdurasi 10 saat itu dimainkan pihak pendakwaan bagi membolehkan saksi kelima bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid mengenal pasti pemilik suara individu dalam perbualan tersebut.

Loading…

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes itu, Gopal Sri Ram meminta Mahdzir, 59, untuk mengenal pasti suara dalam rakaman tersebut dan saksi itu kemudian mengesahkan bahawa ia adalah suara Rosmah dan Najib.

Sri Ram: Anda telah mendengar kedua-dua suara, suara lelaki dan wanita. Boleh anda kenal pasti suara tersebut?

Advertisement

Mahdzir: Boleh.

Sri Ram: Adakah anda biasa mendengar suara itu?

Mahdzir: Biasa.

Sri Ram kemudian meminta rakaman audio itu diulang semula dan menyoal Mahdzir, suara lelaki itu suara siapa dan saksi tersebut menjawab “Datuk Seri Najib.”

Merujuk kepada audio suara wanita yang menyebut “Can I advise you something?’ Mahdzir (gambar, bawah) menjawab “Datin Seri Rosmah.”

Advertisement

Terdahulu, peguam Jagjit Singh yang mewakili Rosmah membantah tindakan Sri Ram memainkan rakaman audio berkenaan atas alasan pihak pembelaan tidak dibekalkan dengan transkrip audio tersebut.

“Sebelum rakaman itu dimainkan, Yang Arif perlu tahu tentang kebolehterimaannya, kami tidak mempunyai transkrip audio itu dan kami tidak tahu apa yang akan keluar. Satu-satunya isu di sini ialah kami sekurang-kurangnya perlu mempunyai transkrip untuk menentukan kerelevanannya.

“Rakaman itu sepatutnya dikemukakan melalui pegawai penyiasat kes dan bukan melalui menteri tersebut. Jika anda memainkannya sekarang, ia akan disiarkan pihak media,” kata Jagjit Singh.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagaimanapun membenarkan rakaman audio itu dimainkan hanya bagi tujuan pengecaman suara.

“Nasib baik kita mengadakan perbicaraan oleh mahkamah, bukan oleh media. Saya lebih memberi perhatian dengan perbicaraan di mahkamah saya. Saya akan benarkan hanya untuk pengecaman,” katanya.

Advertisement

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas, Mahdzir tidak bersetuju dengan cadangan Jagjit Singh bahawa beliau ada menerima wang berjumlah RM50,000 daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, untuk dibelanjakan ketika bercuti bersama keluarganya di London pada Disember 2015.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Saidi menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah dituduh melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di Kuala Lumpur dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

– Bernama

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel