Bekas KSU terkejut Rosmah berminat dengan projek solar

0
3034
Foto oleh FMT

Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau terkejut dan tertanya-tanya mengapa Datin Rosmah Mansor menunjukkan minat terhadap projek solar hibrid serta kaitan dan kepentingan isteri bekas perdana menteri itu dengan projek tersebut.

Saksi pendakwaan keenam perbicaraan kes rasuah Rosmah berkaitan projek solar berkata ini kerana isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah meminta beliau “tengok” dan “cepatkan sikit” permohonan projek tersebut.

Kekal berhubung bersama rakan-rakan dan juga ahli keluarga serta tambah kenalan baru. Hanya di Frenzscape.com ianya percuma!

Loading…

Madinah, 63, yang memegang jawatan itu mulai 13 Jun 2013 sehingga bersara pada 2 Sept 2016, berkata Rosmah membuat permintaan tersebut selepas tamat majlis Permata yang diadakan di kediaman rasmi perdana menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya sebelum bulan Jun 2016.

“Selepas tamatnya majlis Permata seperti kelaziman dan sebagai tanda hormat, Datin Seri Rosmah sebagai VVIP telah berjalan menuju ke kereta beliau diiringi dari belakang oleh saya dan VIP lain.

“Selepas Datin Seri Rosmah masuk ke dalam keretanya, beliau telah menurunkan cermin tingkap kereta dan memanggil saya dengan cara melambai ke arah saya.

“Apabila saya menghampiri Datin Seri Rosmah, beliau telah memberitahu saya lebih kurang begini ‘you tengok sikit projek solar Jepak (Jepak Holdings Sdn Bhd). Cepatkan sikit.’ Saya hanya menjawab ‘Insya-Allah Datin Seri’ dan selepas itu beliau beredar,” katanya yang menghadiri majlis tersebut sebagai ahli lembaga Yayasan Permata.

Membacakan penyataan saksinya, Madinah yang juga bekas Ketua Audit Negara, berkata sebelum ini Rosmah tidak pernah membuat apa-apa permintaan seperti itu kepada beliau berkaitan projek kerajaan.

“Apa yang saya faham daripada permintaan Datin Seri Rosmah adalah beliau memerlukan bantuan saya sebagai KSU Kementerian Pendidikan untuk menyegerakan urusan perolehan projek solar hibrid supaya projek tersebut dianugerahkan kepada Jepak.

“Permintaan daripada Datin Seri Rosmah telah mewujudkan suatu ‘sikap kesegeraan’ dalam diri saya bahawa permohonan projek solar hibrid perlu diberi perhatian oleh saya dan saya sendiri perlu menyusul dengan segera untuk menjayakan permohonan projek solar hibrid oleh Jepak,” katanya.

Menurut saksi itu, beliau berperasaan sedemikian kerana kedudukan Rosmah sebagai isteri perdana menteri (pada masa itu) dan dalam tanggapannya, Rosmah merupakan seorang individu berpengaruh kerana boleh mempengaruhi tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, Madinah berkata suami Rosmah, yang merupakan perdana menteri, telah mengeluarkan arahan untuk melaksanakan projek solar hibrid Jepak dan menggantikan projek genset diesel.

“Sebagai penjawat awam, sebarang teguran daripada perdana menteri adalah satu perkara yang sangat serius kecuali dalam keadaan tertentu yang tidak membolehkan tindakan diteruskan.

“Tidak berapa lama selepas itu, saya mendapat desakan daripada pelbagai penjuru untuk menyegerakan urusan perolehan projek solar hibrid Jepak dan desakan-desakan tersebut diberikan oleh Datuk Rizal Mansor (bekas pembantu Rosmah) dan Rayyan (Rayyan Radzwill Abdullah iaitu rakan perniagaan Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin) dan telah dijejak semula oleh saya kepada Datin Seri Rosmah,” katanya.

Menurut saksi, Rizal telah menghubunginya dari semasa ke semasa berkaitan urusan perolehan projek solar hibrid sehinggalah tarikh persaraan beliau pada 2 Sept 2016 dan Rizal juga ada menggunakan nama Rosmah ataupun ‘mem’ ketika berkomunikasi dengannya.

Sebagai contoh, Madinah berkata Rizal akan memberitahu beliau bahawa ‘mem’ bertanyakan ‘kemajuan’ projek solar hibrid sebelum meminta bantuan beliau untuk segera mengangkat permohonan kelulusan rundingan terus ke Kementerian Kewangan kerana Rizal sering ditanya mengenai perkara itu oleh ‘mem.’

“Mesej-mesej Datuk Rizal Mansor kepada saya secara konsisten adalah berkisar kepada isu-isu permohonan projek solar hibrid seperti status tindakan Kementerian Pendidikan, tindakan yang akan diambil oleh Kementerian Pendidikan dan tindakan yang perlu diambil oleh Kementerian Pendidikan untuk menjayakan permohonan Jepak.

“Datuk Rizal Mansor pernah memberitahu saya ‘PM’ (ringkasan untuk perdana menteri) dan ‘mem’ tanya kenapa terdapat ‘delay’ dalam mengangkat permohonan kelulusan rundingan terus kepada Kementerian Kewangan. Seingat saya, saya pernah memberitahu Datuk Rizal Mansor yang Kementerian Pendidikan akan mengangkat permohonan kelulusan rundingan terus ‘once we have everything ready.’

“Saya juga pernah memberitahu Datuk Rizal Mansor mengenai isu ketiadaan peruntukan bajet pembangunan untuk melaksanakan projek solar hibrid. Datuk Rizal Mansor meminta saya untuk majukan permohonan sahaja dan menggunakan ayat lebih kurang seperti ‘bos tahulah apa nak buat’ dan saya tahu ‘bos’ yang dimaksudkan ialah Datuk Seri Najib Razak – Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa itu,” katanya.

Rosmah, 68, berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 Sept, 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin depan.

-Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...