Tiada had tempoh PM interim, boleh lantik menteri, kata AG

0
6602

Tiada had tempoh bagi jawatan perdana menteri interim yang boleh memutuskan atas budi bicaranya untuk melantik menteri kabinet, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

“Perdana menteri interim memiliki semua kuasa yang diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri. Ini termasuklah (kuasa) untuk melantik atau tidak melantik anggota kabinet menurut budi bicaranya.


Loading…

“Kerana Dewan Rakyat bersidang dari 10 Mac ini, suatu usul undi percaya boleh digerakkan terhadap beliau atau sesiapa sahaja.

“Tiada had tempoh untuk pejabat perdana menteri interim. Oleh yang demikian adalah salah untuk menyatakan (tempoh PM interim) selama 10 hari atau waktu lain yang ditetapkan,” kata beliau dalam suatu kenyataan malam ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim.

Katanya, pelantikan itu sementara menunggu seorang perdana menteri yang baru mengangkat sumpah jawatan selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sumber memberitahu Malaysiakini, Yang di-Pertuan Agong mungkin mengambil sehingga sepuluh hari untuk memutuskan gabungan politik mana yang mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru.

Sementara itu, dalam suatu kenyataan berasingan, Ketua Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali memaklumkan Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan untuk membatalkan pelantikan menteri-menteri PH.

“(Ia) sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan pada 24 Februari 2020 selaras dengan peletakan jawatan perdana menteri.”

“Sehubungan itu, tugas-tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) adalah terhenti pada tarikh yang sama,” kata beliau pada suatu kenyataan malam ini. – Malaysiakini

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...