Connect with us

Pilihan Editor

‘Komposisi kabinet tak adil, blok Bersatu, Azmin dapat manfaat besar’

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan partinya selaku blok Ahli Parlimen terbesar diketepikan dengan cara yang sangat tidak adil dalam pelantikan Kabinet baharu.

Mohamad berkata, terdapat pelbagai desas-desus berhubung pelantikan Kabinet yang baharu, bermula dari ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri sehinggalah kepada dakwaan bahawa komposisi Kabinet adalah berat sebelah.

“Biar apa pun keadaannya, yang perlu difahami adalah betapa pelantikan anggota Kabinet adalah budi bicara Perdana Menteri sepenuhnya.

Loading…

“Namun begitu, adalah jelas bahawa Umno selaku blok Ahli Parlimen terbesar diketepikan dengan cara yang sangat tidak adil yang boleh dilihat daripada dua perkara,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, pertama, pemberian portfolio kementerian yang tidak kritikal yang mana keadaan ini sama sekali tidak setimpal dengan jumlah Ahli Parlimen yang disumbangkan oleh Umno dan tahap pengalaman yang dimiliki oleh mereka.

Advertisement

“Kedua, keanggotaan Kabinet secara jelas memberikan manfaat yang sangat besar kepada blok Bersatu dan Datuk Seri Azmin Ali.

“Sekalipun ia bukanlah kepentingan paling afdal untuk Umno memegang kedudukan kerajaan dalam iklim politik semasa, adalah mustahak untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin menyantuni saiz perwakilan parti dalam kerajaan atas dua dasar,” katanya.

Beliau berkata, pertama, kerana ini adalah sistem Westminster iaitu Kabinet mengamalkan tanggungjawab kolektif, yang hanya akan berkesan jika setiap parti diwakili dengan jumlah yang sewajarnya.

“Perkara ini sangat kritikal kerana hanya dengan mempunyai Kabinet yang bersatu hati, kerajaan boleh bergerak secara bersama dengan pendukungnya. Hanya dengan yang demikian, kerajaan boleh memfokuskan kepada urusan tadbir urus dan pemerintahan.

“Kedua, selama ini kita sememangnya mengamalkan perwakilan yang setara dengan saiz yang diwakili dan ia adalah sistem yang berjaya malah, Pakatan Harapan (PH) sendiri mengamalkan pendekatan yang sama semasa menjadi kerajaan,” katanya.

Advertisement

Katanya, maka, adalah lebih penting dalam keadaan semasa yang menyaksikan kerajaan sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang sukar.

“Dengan cabaran pandemik Covid-19, kejatuhan pasaran saham dan ketidaktentuan ekonomi, kita tidak mempunyai ruang dan masa untuk berlengah dan melakukan kesilapan.

“Kabinet adalah institusi yang memandu dan mengukuhkan bangsa, saat ia berhadapan dengan waktu yang sukar. Sebuah Kabinet yang kuat, terbukti dan inklusif adalah kritikal bagi memastikan kejayaan Perikatan Nasional (PN). Sekiranya pengalaman politik ini diketepikan, ia akan memberi kerapuhan yang boleh membawa kepada kegagalan,” katanya.

Beliau berkata, tanpa sebuah Kabinet yang kuat, Malaysia akan terus menerus menyaksikan polemik politik yang tidak berkesudahan sekali gus tidak memungkinkan kerajaan untuk memberi perhatian kepada pembangunan dan daya saing bangsa. – Harian Metro

Advertisement
Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel