Connect with us

Mahkamah

Polis, nelayan didenda RM1,000 langgar PKP

Dua lelaki termasuk seorang anggota polis menjadi individu pertama didakwa di Perak kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP), yang dilaksanakan mulai 18 Mac lepas, bagi mengekang penularan penyakit berjangkit Covid-19.

Koperal Mohamad Safarrudin Alias, 33, dan Nashrull Awang, 43, nelayan, masing-masing didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung di Lumut hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu, yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Mahkamah turut memerintahkan Mohamad Safarrudin dan Nashrull dipenjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Safarrudin dan Nashrull masing-masing didakwa bergerak dari satu tempat yang lain iaitu Berek Polis Balai Kampung Rapat Ipoh dan 178-B Lorong Bahagia Kampung Serdang, Sitiawan, ke suatu tempat yang lain iaitu di Jalan Besar Lumut Kiri, Sitiawan, di dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan.

Loading…

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Besar Lumut Kiri, Sitiawan pada 4.15 pagi, 23 Mac lalu.

Advertisement

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, di mahkamah sama, Mohamad Safarrudin yang berkhidmat di sebuah balai polis di Ipoh, turut didenda RM250 atau penjara seminggu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki peralatan pecah rumah seperti pengikis, pemotong besi, kuku kambing, playar ragum dan pisau serbaguna, dalam beg sandang digalasnya di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(i) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang boleh didenda maksimum RM250 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Nashrull turut didenda RM600 atau penjara sebulan, kerana gagal memberi keterangan memuaskan apabila didapati memiliki sarang burung walit seberat 415 gram di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 29(1) akta serupa yang boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Advertisement

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Bernama

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel