Connect with us

Mahkamah

Wang masuk ke akaun Najib tak salah, belanjakannya salah – Dzulkifli

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa wang yang masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak tidak semestinya merupakan suatu kesalahan kecuali ia dibuat dengan niat dan pengetahuan.

Bagaimanapun, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, 52, berkata adalah menjadi satu kesalahan jika wang berkenaan dibelanjakan.

“Aliran masuk wang tidak semestinya suatu kesalahan kecuali ia dibuat dengan pengetahuan dan juga dengan niat (mala fide), tetapi jika dia membelanjakan wang berkenaan, maka ia adalah satu kesalahan,” katannya yang juga merupakan bekas Timbalan Pendakwa Raya.

Loading…

Dzulkifli berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas perdana menteri itu.

Pada prosiding sebelum ini, Najib, 67, mengaku bahawa beliau telah berbelanja berpuluh juta ringgit wang yang dikreditkan ke dalam akaun bank peribadinya antara 2014 dan 2015 dengan berpendapat ia dana untuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dimilikinya.

Advertisement

Bagaimanapun, ahli Parlimen Pekan itu mengekalkan pendiriannya bahawa beliau tidak tahu wang tersebut adalah dana SRC International.

Kepada soalan lain, Dzulkifli juga berkata suruhanjaya itu telah mencadangkan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil; pengarah syarikat, Datuk Suboh Md Yassin dan dua lagi pengarah SRC International lain untuk didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Saya tidak ingat siapa lagi pengarah berkenaan. Saya juga tidak tahu mengenai hasil cadangan itu sehingga ke hari ini,” kata saksi pembelaan ke-18 itu.

Terdahulu, Dzulkifli menafikan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram bahawa beliau ‘melindungi’ keputusan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk menutup kes derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dana SRC International membabitkan Najib.

Sementara itu, saksi pembelaan ke-19, iaitu seorang pegawai SPRM, Regjit Singh memberitahu mahkamah bahawa beliau dan pasukannya telah dua kali merekodkan kenyataan daripada Nik Faisal pada Oktober 2015.

Advertisement

Regjit berkata kenyataan itu direkodkan daripada Nik Faisal yang ketika itu ditemani peguam Selva Mookiah di sebuah hotel di Jakarta pada dua hari berasingan dalam bulan Oktober, tahun yang sama.

Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 21 April depan bagi kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis manakala 12 Mei depan ditetapkan untuk hujahan lisan.

Mahkamah menetapkan tarikh tersebut selepas Muhammad Shafee memberitahu bahawa pihak pembelaan menutup kesnya hari ini.

Najib berdepan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

– Bernama

Advertisement

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel