Connect with us

Hiburan

Pelakon Zarina Anjoulie fail saman fitnah RM3 juta terhadap Amyza Aznan

Pelakon dan model, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul memfailkan saman fitnah RM3 juta terhadap rakannya, Amyza Aznan berhubung kenyataan mengenai bantuan khusus untuk artis tempatan susulan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) daripada kerajaan kesan wabak COVID-19.

Zarina Anjoulie, 34, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 23 April lalu, menerusi Tetuan Nurul Hafidzah & Associates dengan menamakan Amyza Aznan atau nama sebenarnya Azizah @ Amyza Aznan, 46, selaku defendan tunggal dalam saman berkenaan.

Loading…

Mengikut senarai kes mahkamah, kes itu ditetapkan untuk sebutan secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Shuhada Ramli hari ini yang kemudiannya menetapkan 28 Mei ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang dilihat melalui carian dalam e-filing, Zarina Anjoulie mendakwa selepas pengumuman kerajaan berhubung BPN kepada rakyat dalam golongan B40 dan M40 yang berpendapatan bulanan RM8,000 ke bawah, sebahagian daripada golongan artis tempatan turut menyuarakan pendapat mereka dan menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu memberikan satu ‘bantuan khusus’ bagi mereka atau penggiat seni negara.

Advertisement

Zarina Anjoulie, yang juga usahawan mendakwa beliau telah memuat naik video di laman sosial Instagram pada 28 Mac lalu, yang secara umum menyatakan bahawa “bantuan khusus” itu adalah tidak perlu dan hanya golongan artis yang layak boleh memohon BPN seperti rakyat lain.

Mengikut penyataan tuntutan itu, plaintif turut menyuarakan pendapat bahawa golongan artis yang berkemampuan dan berpendapatan besar seharusnya sedar mereka adalah golongan yang sepatutnya mempunyai wang simpanan mencukupi untuk menyara diri mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disebabkan krisis COVID-19, malah berpeluang untuk turut sama membantu rakyat yang terjejas oleh krisis itu.

Dakwanya, pada 29 Mac lalu satu kumpulan dikenali sebagai “BANTUAN COVID-SENI 2020” telah ditubuhkan menggunakan aplikasi Telegram yang membincangkan mengenai bantuan COVID-19 kepada artis tempatan dan kumpulan itu mempunyai sekurang-kurangnya 819 ahli terdiri daripada penggiat seni termasuk Amyza.

Plaintif mendakwa melalui kumpulan itu Amyza telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya menyebabkan ramai ahli kumpulan berkenaan turut dipengaruhi oleh fitnah itu selain mendakwa defendan juga telah mengeluarkan kenyataan memfitnah di Instagram untuk paparan umum yang dimuat naik April lalu.

Dakwanya, kenyataan fitnah berkenaan membawa maksud bahawa plaintif seorang yang berperangai buruk, tidak bertanggungjawab, berpura-pura baik, mempergunakan orang lain untuk menyerang defendan dan sering menabur fitnah terhadap artis-artis lain.

Akibat kenyataan fitnah itu, Zarina Anjoulie mendakwa beliau mengalami kemurungan kerana dimalukan, sedih, sakit hati dan reputasinya turut tercalar selain mendakwa plaintif menerima kecaman dan reaksi negatif daripada masyarakat.

Advertisement

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am atas kehilangan reputasi berjumlah RM3 juta, ganti rugi teladan, faedah, permohonan maaf daripada defendan dan defendan juga dihalang daripada mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan memfitnah, memalukan atau menjatuhkan reputasi plaintif pada masa akan datang, kos serta relief lain yang sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

Continue Reading
Advertisement

Like Us On Facebook

Facebook Pagelike Widget

Untuk Laporan Berita Terkini Secara Percuma!

Sila install aplikasi Malaysian Update.my untuk laporan berita terkini secara percuma!
Advertisement

Join our Telegram Channel