Meninggal Dunia Akibat Covid-19, Doktor Ini Sempat Tunai Solat Subuh Buat Kali Terakhir

 2,588 total views,  3 views today

Seorang doktor di Makassar, Indonesia sempat menunaikan solat subuh dua rakaat sebelum dijemput menghadap Ilahi buat selama-lamanya selepas seminggu bertarung nyawa melawan Covid-19.



Menurut rakan Allahyarham iaitu Dr. Wachyudi Muchsin, Dr. Adnan Ibrahim meninggal dunia Jumaat lalu selepas sembilan hari dirawat di Hospital Wahidin Sudirohusodo, Makassar.

Beliau berkata, Dr. Adnan sebelum ini merupakan salah seorang petugas di barisan hadapan yang bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19.

“Hari kesembilan dirawat, mesin ventilator non-invasive sudah tidak mampu lagi menampung nafas arwah yang semakin sukar bernafas.

“Berikutan itu, pasukan doktor yang merawat mengambil keputusan untuk melakukan intubasi.

“Tetapi arwah meminta waktu sejenak untuk menunaikan solat subuh dua rakaat di atas katil sebelum proses tersebut dibuat,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya semalam.

Dr. Wachyudi berkata, arwah seperti sudah mengetahui masanya sudah sampai apabila meminta menunaikan solat terlebih dahulu sebelum prosedur tersebut yang memerlukan pesakit dibius sepenuhnya dibuat.

Bercerita lebih lanjut, Dr. Wachyudi berkata, sehari sebelum kematiaannya, arwah sempat membuat kebaikan dengan meminta isterinya membelikan pakaian kepada seorang pesakit di sebelahnya berikutan kain dipakainya tidak sempurna.

Ucapan takziah daripada PAPDI

Sementara itu, Dr. Wachyudi berkata, pemergian Dr. Adnan meninggalkan kesan mendalam kepada doktor di wilayah tersebut secara khususnya kerana sehingga kini seramai lima orang doktor telah tewas dalam menentang Covid-19.

“Kepergianmu menambah duka mendalam, sudah lima doktor di Makassar gugur di pertempuran kemanusiaan Covid-19.

“Insya-Allah lima rakan sejawat , guru dan senior kami ini amal ibadahnya nanti akan diterima Allah SWT,” katanya.-MT