Bekas Setiausaha Sulit Kanan Bekas Menteri Dituduh Rasuah RM3.1 Juta

 1,112 total views,  1 views today

Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas menteri pelancongan, seni dan budaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, harı ini, atas 18 pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM3,129,015 daripada pemilik sebuah syarikat bagi mendapatkan tender perkhidmatan pengiklanan di bawah kementerian itu.



Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 29, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Sementara itu, tunangnya, Nurfadziana Abdul Kadir, 28, juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersubahat dengan Mohd Saifullah dalam melakukan kesalahan rasuah dengan menerima suapan RM232,000.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur iaitu  di Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli belah Pavilion, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Vipod Residences, di Maybank Taman Tun Dr Ismail dan Wisma Genting dan di pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya antara 19 Jan hingga 29 Julai, 2019.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Md Yunos Sharif.

Mengikut 14 pertuduhan, Mohd Saifullah didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah berjumlah RM2,871,500 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada serta Abdul Halim Khuajah.

Ia sebagai upah untuknya yang berjanji mendapatkan tender ‘Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan dan Kreatif Untuk Kempen Pengiklanan Tourism Malaysia’ serta ‘Perkhidmatan Pembelian Ruang Iklan Bagi Pasaran Negara-Negara Asia Utara dan Asia Timur Tourism Malaysia” untuk Inter Bev Network.

Tertuduh juga didakwa berjanji untuk mendapatkan tender ‘RFP-Global Advertising Agency And Promotion For Tourism Malaysia’ kepada syarikat Plan B Digital Sdn Bhd.

Bagi  tiga pertuduhan pula, Mohd Saifullah didakwa secara rasuah meminta daripada Ronald melalui Roslan iaitu pembayaran deposit dan sewaan seunit rumah di Vipod Residences, No. 6, Jalan Kia Peng, di sini, berjumlah RM20,015 melalui cek Maybank yang diberikan kepada Roslan.

Dia juga didakwa menerima suapan daripada Ronald bagi pembayaran sewa rumah sama berjumlah RM5,500 secara pindahan akaun Maybank melalui Roslan.

Mengikut satu lagi pertuduhan, Mohd Saifullah dituduh menerima suapan RM232,000 daripada Ronald melalui tunangnya, Nurfadziana berhubung perkara sama.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 manakala Nurfadziana dituduh mengikut Seksyen 28 (1) dan kedua-dua mereka  boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Ia membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dgn seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah sebelum 2 Sept serta melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran pada minggu pertama setiap bulan manakala Nurfadziana dibenarkan diikat jamin RM100,000 beserta syarat sama.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Sept ini untuk sebutan semula kedua-dua kes itu.

— BERNAMA