COVID-19: Kes Positif Di Indonesia Hampiri 150 Ribu, Kematian 6,500

 122 total views,  1 views today

JAKARTA – Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat, secara keseluruhannya kini berjumlah 149,408 kes dengan 78,877 pesakit masih dalam pemantauan virus itu.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 2,197 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam di republik itu.



Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 82 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini 6,500 orang.

Bagi tempoh 24 jam itu, provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kes positif baharu tertinggi iaitu 657 kes, dengan 15 lagi kematian.

Provinsi Jakarta kini mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 32,267 kes, diikuti Jawa Timur (29,715) dan selebihnya di 32 provinsi lain.


Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi  iaitu 2,128 orang, diikuti Jakarta (1,063), Jawa Tengah (818), Sulawesi Selatan (347) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

— BERNAMA